BOSTON: Ousmane Dembele meledak hatrik pada separuh masa pertama ketika Perancis membelasah Norway 4-1 untuk mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan I Piala Dunia, sebentar tadi.
Pemenang Ballon d’Or yang juga bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu menjaringkan gol pada minit ketujuh, ke-20 dan ke-32 ketika Perancis mengekalkan rekod sempurna mereka di kejohanan dengan satu lagi aksi serangan yang memukau.
Tumpuan sebelum perlawanan di Stadium Gillette di Foxborough, berhampiran Boston, lebih terarah kepada pertembungan antara penyerang Perancis, Kylian Mbappe dan penyerang Norway, Erling Haaland.
Bagaimanapun, pertarungan yang dinanti-nantikan itu tidak menjadi kenyataan selepas Norway memilih untuk merehatkan bintang Manchester City itu di bangku simpanan.
Sebaliknya, Dembele mencuri tumpuan daripada rakan sepasukannya Mbappe, sekali gus mempamerkan kekuatan jentera serangan Perancis yang digeruni.
Norway yang memerlukan kemenangan untuk memintas Perancis di tangga teratas kumpulan sempat memberi saingan apabila Thelo Aasgaard menjaringkan gol pada minit ke-21.
Namun, gol ketiga Dembele mengembalikan kelebihan dua gol Perancis dan walaupun Jorgen Strand Larsen gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-50, naib juara Piala Dunia 2022 itu tidak pernah kelihatan hilang kawalan.
Rakan sepasukan Dembele di PSG, Desire Doue, menambah gol keempat Perancis pada masa kecederaan untuk melengkapkan kemenangan.
Perlawanan itu berlangsung dalam suasana yang suram buat Perancis apabila jurulatih Didier Deschamps meninggalkan kem pasukan awal minggu ini susulan kematian ibunya.
Kedua-dua pasukan turut memberikan penghormatan kepada mangsa gempa bumi dahsyat di Venezuela dengan bertafakur seketika sebelum sepak mula.
Perancis kini akan menentang salah satu daripada lapan pasukan tempat ketiga terbaik pada pusingan 32 terbaik, manakala Norway akan berdepan Ivory Coast di Dallas pada 30 Jun bagi merebut tempat ke pusingan 16 terbaik.-AGENSI










