Brazil belum capai prestasi maksimum- Ancelotti

Brazil belum capai prestasi maksimum- Ancelotti

CARLO Ancelotti memberi arahan kepada pemain Brazil ketika berdepan Maghribi.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW JERSEY: Jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti, meminta semua pihak bersabar selepas juara dunia lima kali itu memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan keputusan seri 1-1 menentang Maghribi, sambil menegaskan bahawa kejayaan tidak ditentukan berdasarkan perlawanan pertama.

Skuad Selecao hampir mengalami kekalahan dalam aksi pembukaan Piala Dunia buat kali pertama sejak 1934 apabila ketinggalan hasil jaringan pemain Maghribi, Ismael Saibari, dalam perlawanan yang berlangsung di New Jersey.

Bagaimanapun, bintang Brazil, Vinicius Junior, meledak gol penyamaan menerusi penyudah berkualiti untuk memastikan pasukannya meraih satu mata berharga.

Ancelotti mengakui persembahan pasukannya masih belum mencapai tahap yang diharapkan, terutama pada babak awal permainan.

“Saya fikir ia adalah perlawanan yang sukar, terutamanya pada permulaan. Pasukan kelihatan sedikit gementar dan tekanan jelas dirasai oleh para pemain.

“Kami tidak bermain dengan baik, tetapi kami tidak boleh berputus asa. Ini adalah perlawanan pertama Piala Dunia dan kita tidak boleh mengharapkan semuanya berjalan sempurna sejak awal lagi.

“Keputusan ini bukanlah sesuatu yang buruk dan kami akan terus memperbaiki prestasi dalam perlawanan seterusnya. Anda tidak memenangi Piala Dunia hanya berdasarkan aksi pertama,” katanya.

Ancelotti turut memuji Vinicius dan percaya penyerang Real Madrid itu mampu menyerlah sebagai tonggak utama jentera serangan Brazil sepanjang kejohanan.

Menurutnya, Vinicius mempunyai segala kualiti untuk mencipta impak besar walaupun apabila penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil, Neymar, kembali daripada kecederaan betis.

“Dia bermain dengan baik dan sentiasa berbahaya. Saya fikir dia memiliki segala yang diperlukan untuk mengharungi Piala Dunia yang hebat,” kata Ancelotti.

Sementara itu, Vinicius mengakui Brazil memulakan perlawanan dengan terlalu perlahan sehingga memberi ruang kepada Maghribi untuk mendahului.

“Kami bermula dengan sangat buruk. Selepas bolos gol pertama, agak sukar untuk bangkit semula. Ini perlawanan pertama dan ia sentiasa mencabar.

“Kami perlu meningkatkan prestasi dan terus berkembang kerana pertandingan ini baru bermula. Ini adalah Piala Dunia dan tiada perlawanan yang mudah.

“Buat masa ini tidak banyak yang boleh diperkatakan selain kami perlu memperbaiki banyak perkara,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN