PETALING JAYA: Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) menegaskan semua pihak perlu memberi ruang sepenuhnya kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk menjalankan siasatan berhubung insiden membabitkan perlawanan Thailand menentang Malaysia dalam aksi final acara Regu Berpasukan di Piala Dunia Sepaktakraw 2026.
Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, keputusan merujuk kes tersebut kepada Jawatankuasa Tatatertib dibuat secara sebulat suara oleh Jawatankuasa Eksekutif selepas meneliti laporan pegawai perlawanan, pegawai teknikal serta bahan bukti berkaitan.
Katanya, rujukan itu melibatkan 12 atlet dan tiga pegawai daripada delegasi Thailand, susulan tindakan meninggalkan perlawanan (walkover) semasa Regu Ketiga yang mencetuskan perhatian dalam kejohanan tersebut.
“Semua individu yang terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung, akan diberi peluang yang adil untuk mengemukakan penjelasan, bukti serta representasi masing-masing kepada Jawatankuasa Tatatertib,” katanya.
Beliau menegaskan, tindakan merujuk kes tersebut bukan bermaksud sebarang kesalahan telah dibuktikan, sebaliknya bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh, bebas dan berlandaskan prinsip keadilan.
ISTAF turut mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses tatatertib, sebaliknya menunggu keputusan rasmi berdasarkan penemuan jawatankuasa berkenaan.
“Adalah penting untuk semua kesimpulan dibuat berdasarkan bukti dan proses yang sewajarnya di bawah rangka kerja peraturan persekutuan,” katanya lagi.
ISTAF dalam masa sama menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan tadbir urus sukan sepak takraw di peringkat antarabangsa kekal berintegriti, adil dan telus.
Keputusan lanjut berhubung kes itu akan diumumkan selepas proses tatatertib selesai dijalankan. – UTUSAN










