MONTERREY: Afrika Selatan mencipta sejarah apabila mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia buat kali pertama selepas menewaskan Korea Selatan 1-0 dalam aksi terakhir Kumpulan A, semalam.
Kejayaan itu dianggap luar biasa memandangkan skuad Bafana Bafana memulakan kempen dengan langkah kiri apabila tumpas 0-2 kepada Mexico sebelum bangkit mengikat Republik Czech dan menewaskan Korea Selatan dalam perlawanan penentuan tempat kedua kumpulan di Monterrey.
Gol tunggal perlawanan dihasilkan oleh Thapelo Maseko pada minit ke-63 hasil hantaran silang Tshepang Moremi.

Korea Selatan yang dibimbing Hong Myung-bo membuat keputusan mengejutkan apabila tidak menyenaraikan kapten pasukan, Son Heung-min dalam kesebelasan utama.
Bagaimanapun, Korea Selatan memulakan perlawanan dengan cemerlang menerusi beberapa peluang awal, termasuk tandukan Kim Min-jae yang berjaya diselamatkan di garisan gol oleh Aubrey Modiba.
Afrika Selatan kemudian menguasai permainan, namun gagal memanfaatkan beberapa peluang terhidang.
Peluang terbaik hadir pada minit ke-30 apabila Evidence Makgopa hanya mampu melakukan sentuhan lemah ke arah penjaga gol Korea Selatan, Kim Seung-gyu.
Menyedari kedudukan pasukan yang semakin tertekan, Hong memasukkan Son sebaik bermulanya babak kedua dalam usaha mengubah nasib pasukannya.

Namun, Afrika Selatan terlebih dahulu menemui jaringan apabila Maseko menyempurnakan peluang yang terhasil daripada gerakan pantas pasukannya untuk meletakkan Bafana Bafana di hadapan.
Korea Selatan meningkatkan asakan pada penghujung perlawanan, namun benteng pertahanan Afrika Selatan yang diketuai penjaga gol, Ronwen Williams berjaya mengekang setiap percubaan lawan.
Kemenangan itu memastikan Afrika Selatan mengiringi Mexico ke pusingan kalah mati dan akan berdepan tuan rumah bersama, Canada, di Los Angeles pada 28 Jun. – AFP










