KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerima suntikan tajaan bernilai RM25 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi tempoh lima tahun bermula 2026 hingga 2030 dalam usaha memperkukuhkan pembangunan sukan hoki negara.
Tajaan bernilai RM5 juta setahun itu bakal menjadi pemacu utama buat badan induk berkenaan dalam merangka program pembangunan yang lebih komprehensif, sekali gus memperkasakan prestasi skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.
Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, tajaan tersebut menjadi bukti komitmen berterusan TNB dalam membantu memperkasakan sukan hoki tanah air.
“Alhamdulillah, pada tahun ini saya difahamkan kontrak ini adalah untuk 5 tahun, iaitu jumlah keseluruhan RM25 juta untuk 5 tahun yang akan datang.
“TNB memang faham kita perlukan dana dan alhamdulillah, kita harap dengan wang ini kita akan gunakan sebaik mungkin supaya kita akan tingkatkan lagi prestasi sukan hoki agar kita mendapat lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” katanya.
Subahan ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara TNB dan KHM bagi 2026 hingga 2030 yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, sepanjang tempoh kerjasama tersebut sejak 2006, TNB telah menyalurkan dana lebih RM60 juta bagi menyokong pelbagai inisiatif pembangunan hoki negara.
“Di TNB, kami percaya sukan memainkan peranan penting dalam membentuk disiplin, semangat berpasukan dan jati diri generasi muda.
“Sebab itu, sokongan kami terhadap hoki bukan sekadar tajaan korporat tetapi satu pelaburan jangka panjang untuk pembangunan belia dan masa depan sukan negara,” katanya. – UTUSAN










