MANCHESTER: Pep Guardiola menegaskan hasrat utamanya selepas meninggalkan Manchester City hujung musim ini bukan untuk terus memburu cabaran baharu dalam dunia bola sepak, sebaliknya mahu berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.
Pengendali berusia 55 tahun itu mengakui tempoh sedekad mengemudi City menuntut pengorbanan besar, justeru beliau mahu menggunakan peluang itu untuk mendapatkan semula masa yang terlepas ketika anak-anaknya membesar.
“Saya mahu berehat dan mendapatkan kembali masa yang terlepas bersama anak-anak ketika mereka membesar. Saya belum memikirkan apa-apa berkaitan bola sepak buat masa ini,” katanya.
Guardiola bakal menamatkan era gemilang selama 10 tahun di Stadium Etihad sebaik musim ini melabuhkan tirai, sekali gus mencetus persoalan mengenai siapa bakal mengisi kekosongan ditinggalkannya.
Meskipun bekas pembantunya yang juga pengendali Chelsea, Enzo Maresca disebut-sebut sebagai calon utama, Guardiola menegaskan beliau tidak akan terlibat dalam proses memilih pengurus baharu City.
“Dalam tugas seperti ini, ia bukan soal salin dan tampal. Anda perlu jadi diri sendiri dan pengendali baharu juga perlu jadi dirinya sendiri,” kata Guardiola.
Menurutnya, kejayaan tidak akan hadir jika seseorang jurulatih hanya cuba meniru pendekatan individu lain kerana setiap pengendali memiliki falsafah serta identiti tersendiri dalam membentuk pasukan.
Dalam perkembangan sama, Guardiola turut menyuarakan keyakinan bahawa City akan dibersihkan daripada 115 pertuduhan berkaitan dakwaan pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang dikenakan sejak Februari 2023.
“Saya percaya kepada mereka. Saya sudah bercakap dengan mereka dan saya percaya dengan cara mereka mengendalikan perkara ini,” ujarnya. – AGENSI/UTUSAN










