MANCHESTER: Usaha Manchester City untuk mengejar Arsenal di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) direncatkan dengan laporan pengendalinya, Pep Guardiola bakal meninggalkan kelab itu pada hujung minggu ini.
Menurut laporan beberapa media termasuk Daily Mail dan The Athletic, Guardiola, 55, akan melepaskan jawatannya selepas aksi terakhir menentang Aston Villa, sekali gus menamatkan era gemilang selama sedekad di Stadium Etihad.
Guardiola sudah memenangi enam gelaran EPL dan satu trofi Liga Juara-Juara bersama City selain keseluruhan 20 trofi sejak tiba di England pada tahun 2016, namun City belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkenaan spekulasi itu.
Jurulatih kelahiran Sepanyol itu masih berpeluang menambah satu lagi kejuaraan liga sekiranya City menewaskan Bournemouth dan Aston Villa, sambil berharap Arsenal gagal menewaskan Crystal Palace pada aksi terakhir musim ini.
Bekas pengendali Chelsea, Enzo Maresca yang sebelum ini pernah menjadi pembantu Guardiola di City dilaporkan berada dalam senarai utama untuk menggantikannya musim depan.
Maresca, 46, sebelum ini pernah menjadi pembantu Guardiola ketika City memenangi treble pada musim 2022-23 sebelum meninggalkan kelab untuk mengendalikan Leicester City pada tahun 2023.
Jurulatih kelahiran Itali itu kemudian menyertai Chelsea pada tahun 2024 dan membantu kelab London itu menjuarai Liga Konferens Eropah serta Piala Dunia Kelab 2025.
Namun, hubungannya dengan pengurusan Chelsea dikatakan retak selepas beberapa kali mengakui sudah mengadakan perbincangan dengan City tentang kemungkinan menggantikan Guardiola.
Biarpun Guardiola masih mempunyai baki kontrak setahun, khabar angin tentang pemergiannya sudah berlegar sejak beberapa bulan lalu.
Selepas melalui musim tanpa trofi pada kempen 2024-25 buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun, City bangkit semula musim ini apabila meraih gelaran berganda domestik menerusi Piala Liga dan Piala FA.
Kemenangan ke atas Chelsea di final Piala FA pada Sabtu lalu melengkapkan pencapaian itu, selain mereka masih berpeluang memintas Arsenal untuk menjulang gelaran liga ketujuh dalam tempoh sembilan musim. – AGENSI/UTUSAN










