PETALING JAYA: Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menggesa Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) mengambil tindakan keras terhadap Thailand susulan tindakan pemain-pemainnya meninggalkan gelanggang semasa aksi final acara regu berpasukan lelaki Piala Dunia Sepak Takraw 2026, baru-baru ini.
Presidennya, Datuk Mohd. Sumali Reduan menegaskan, tindakan Thailand yang enggan meneruskan permainan wajar dihukum kerana mencemarkan semangat kesukanan
Katanya, keputusan pengadil perlu dihormati oleh semua pasukan dan sebarang bantahan wajar dibuat melalui saluran rasmi, bukannya dengan menarik diri daripada perlawanan.
“Pada pandangan saya, dekat mana-mana kejohanan besar sekalipun, bila tidak meneruskan permainan adalah perkara yang sepatutnya perlu diambil tindakan. Sama ada siapa yang perlu dikenakan tindakan itu kita serah kepada ISTAF.
“Keputusan pengadil adalah muktamad. Kalau tidak puas hati, ada prosedur bantahan. Tetapi untuk berhenti bermain, itu bukan tindakan yang wajar dalam kejohanan bertaraf dunia,” katanya.
Menurutnya lagi, PSM telah mengemukakan aduan rasmi kepada ISTAF bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan sebelum sebarang tindakan dikenakan terhadap Thailand.
Dalam pada itu, beliau turut menolak dakwaan kononnya keputusan pengadil berat sebelah memihak kepada Malaysia, sambil menyifatkan tuduhan tersebut tidak berasas tanpa bukti kukuh.
“Jika benar pengadil memihak kepada Malaysia, perlawanan tidak akan sampai ke tahap itu. Kita perlu hormati keputusan di gelanggang dan guna saluran rasmi jika ada pertikaian,” katanya.
Sementara itu, pengurus skuad negara, Datuk Abu Jimi Samat mengesahkan ISTAF kini sedang meneliti laporan rasmi daripada PSM sebelum memutuskan bentuk hukuman.
Menurutnya, tindakan disiplin dijangka akan dikenakan kerana Thailand didakwa melanggar peraturan pertandingan apabila enggan meneruskan permainan.
“Bentuk hukuman bergantung kepada hasil siasatan. Ia boleh melibatkan penggantungan pemain atau tindakan lebih berat terhadap persatuan jika didapati bersalah,” katanya.
Insiden itu kini menjadi perhatian dunia sepak takraw antarabangsa, dengan ISTAF dijangka mengumumkan keputusan rasmi selepas siasatan selesai. – UTUSAN










