Skuad hoki remaja lelaki perlu kalahkan Pakistan

Skuad hoki remaja lelaki perlu kalahkan Pakistan

AKSI skuad hoki remaja lelaki kebangsaan menentang Bangladesh dalam saingan Piala Asia Bawah 18 di Kakamigahara, Jepun, semalam. - IHSAN PERSEKUTUAN HOKI ASIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad hoki lelaki remaja negara tidak mempunyai pilihan selain perlu mengalahkan Pakistan hari ini selepas kecundang 2-4 kepada Bangladesh dalam aksi pembukaan Piala Asia Bawah 18 (B-18) 2026 di Kakamigahara, Jepun, semalam.

Jurulatih skuad remaja kebangsaan, Mohd Harfizi Baharom menuntut anak-anak buahnya segera melupakan kekalahan mengecewakan 2-4 kepada Bangladesh dan kembali bangkit menjelang aksi getir menentang Pakistan, hari ini.

Kekalahan mengejut kepada Bangladesh yang dianggap bukan pasukan pilihan semalam menyaksikan skuad negara berada dalam situasi wajib menang demi menghidupkan semula peluang mencabar takhta Kumpulan B.

Harfizi berkata, Pakistan yang merupakan naib juara edisi lalu bukanlah lawan yang boleh dipandang mudah terutamanya dengan keupayaan teknikal dan serangan balas pantas mereka.

“Para pemain perlu berani mengambil risiko memandangkan tiga mata penuh amat diperlukan untuk kembali bersaing di peringkat kumpulan. Tahap disiplin tinggi juga diperlukan daripada setiap pemain yang akan diturunkan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Mengulas aksi anak-anak buahnya, semalam, Harfizi mengakui jentera serangan negara gagal memanfaatkan peluang keemasan menerusi situasi pukulan sudut penalti.

Menurutnya, masalah komunikasi dalam kalangan pemain telah membolehkan Bangladesh mengambil kesempatan untuk meledak gol mudah.

“Meskipun berjaya mencipta lebih banyak peluang, kebanyakan percubaan dilaporkan tersasar jauh dari kawasan gol sekali gus menjadi punca utama halangan skuad negara untuk meraih kemenangan.

“Selain daripada jentera serangan yang tumpul, terdapat kerapuhan di bahagian pertahanan ketika menghadapi pukulan sudut penalti lawan.

“Barisan kejurulatihan kini memanfaatkan baki masa yang ada dengan melakukan analisis video perlawanan pihak lawan secara terperinci bagi merangka strategi baharu,” ujarnya.

Harfizi menaruh harapan tinggi agar segala kelemahan pertahanan berpasukan serta kesilapan individu dapat diatasi sepenuhnya sebelum wisel perlawanan esok dibunyikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN