Separuh akhir sasaran realistik hoki

Separuh akhir sasaran realistik hoki

Brendan Carolan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih hoki kebangsaan, Brendan Carolan meletakkan sasaran realistik apabila mahu skuad negara sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir Kejohanan Piala Negara-Negara yang akan berlangsung di Afrika Selatan dari 11 hingga 20 Jun ini.

Menurutnya, fokus utama ketika ini adalah memastikan setiap pemain berada pada tahap terbaik selain mampu menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkan.

“Kami mahukan pemain yang sentiasa cergas dan bersedia dalam situasi paling memerlukan, untuk itu setiap proses yang dirangka bersesuaian dengan pemain kerana sasaran pasukan adalah bagi kejohanan pertama (Piala Negara-Negara) kami mahu layak ke separuh akhir,” katanya.

Brendan mengambil alih Speedy Tigers sejak Mac lalu turut berkata, keutamaan pasukan adalah untuk membina momentum pasukan bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2028 menerusi Sukan Asia yang akan diadakan pada September ini.

“Saya rasa kita perlu utamakan apa matlamat kita. Matlamat kita ialah kelayakan Olimpik. Jadi, bagi kami, ini (Piala Negara-Negara) adalah satu langkah persediaan untuk memastikan kami benar-benar bersedia menjelang September.

“Anda perlu mengatur prestasi pasukan secara berperingkat kerana anda tidak mahu mencapai kemuncak terlalu awal.

“Oleh itu, kami tidak mahu meletakkan tekanan yang tidak perlu kepada pemain tetapi kami mahu bermain sebaik mungkin menjelang September supaya kami dapat meletakkan diri kami dalam kedudukan untuk mara ke final Sukan Asia,” katanya.

Selepas beraksi dalam Piala Negara-Negara, Speedy Tigers akan mengadakan lima siri persahabatan menentang Afrika Selatan sebelum pulang ke tanah air. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN