Kemalangan GP Catalunya hantui Giannantonio

Kemalangan GP Catalunya hantui Giannantonio

Pelumba pasukan Gresini Racing, Alex Marquez (kiri) terpelanting selepas terlibat kemalangan dalam perlumbaan MotoGP Grand Prix Catalunya di Montmelo, Barcelona, hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARCELONA: Pelumba Ducati, Fabio Di Giannantonio mengakui detik cemas ketika mengelak serpihan kemalangan membabitkan Alex Marquez dan Pedro Acosta dalam Grand Prix (GP) Catalunya, kelmarin masih menghantuinya.

Giannantonio berkata, dia hanya mampu menyorok di sebalik fairing motosikal ketika melalui kawasan insiden yang berlaku pada pusingan ke-12 saingan sebelum perlumbaan dihentikan dengan bendera merah.

Kemalangan ngeri itu berlaku apabila jentera KTM milik Acosta dipercayai mengalami masalah teknikal sebaik keluar dari selekoh kesembilan menuju laluan lurus sebelum kehilangan kuasa secara tiba-tiba.

Situasi tersebut menyebabkan Marquez gagal mengelak sebelum merempuh bahagian belakang motosikal Acosta dan tercampak keluar dari litar.

“Saya cuma nampak banyak serpihan berterbangan dan saya cuba, sejujurnya, menyorok di sebalik fairing dan cuba melepasi kawasan itu. Bukan macam ini sebenarnya, tetapi sejujurnya saya tak tahu apa yang berlaku.

“Saya rasa Pedro mengalami masalah atau sesuatu tetapi selepas itu memang sukar untuk faham apa yang terjadi. Semuanya berlaku terlalu pantas. Saya cuma cuba menyorok. Itu saja.

“Apabila saya sampai di situ, saya nampak banyak serpihan berterbangan, dan banyak serpihan juga sudah terkena kami di laluan lurus,” katanya.

Sementara itu, Joan Mir kehilangan podium MotoGP pertamanya musim ini akibat penalti tekanan tayar sekali gus membolehkan Francesco Bagnaia naik ke tempat ketiga.

Itu merupakan podium pertama Bagnaia sejak dia memenangi GP Jepun tahun lalu, sekali gus menamatkan kemarau podium paling lama pasukan kilang Ducati dalam tempoh lebih sedekad.

Perubahan keputusan itu membolehkan Fermin Aldeguer dinaikkan ke tempat kedua manakala Marco Bezzecchi dari Aprilia memperoleh dua mata tambahan di tempat keempat. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN