SEREMBAN: Isu penarikan kerakyatan tujuh pemain warisan Harimau Malaya perlu dibincangkan terlebih dahulu di peringkat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, perkara berkenaan tertakluk di bawah bidang kuasa serta prosedur biasa KDN.
“Biar persatuan bola sepak bincang dulu, baru kemukakan kepada Menteri Dalam Negeri mengikut kuasa biasa,” katanya ketika ditemui pemberita di Sendayan, di sini hari ini.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada KDN dan FAM bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Menurutnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan mencampuri urusan melibatkan persatuan kerana perkara berkaitan kewarganegaraan dan kerakyatan berada di bawah bidang kuasa KDN.
“Hal kewarganegaraan, kerakyatan dan sebagainya adalah di bawah bidang kuasa KDN.
“Kita tidak terlibat dengan hal-hal persatuan dan sebagainya. Jadi, kita serahkan kepada persatuan serta pihak yang mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan,” katanya.










