Brendan rombak permainan ikut gaya Eropah

Brendan rombak permainan ikut gaya Eropah

Brendan Carolan akan mengubah cara bermain Speedy Tigers kepada gaya Eropah yang lebih kompetitif.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Brendan Carolan akan mengubah cara bermain Speedy Tigers kepada gaya Eropah yang lebih kompetitif berbanding corak lama yang memenatkan pemain.

Menurut Brendan, pendekatan kawalan penuh satu lawan satu yang digunakan sebelum ini terlalu memenatkan pemain sehingga menjejaskan keupayaan pasukan untuk melancarkan serangan balas.

Katanya, kebanyakan pasukan Eropah kini menggabungkan elemen zon dalam sistem pertahanan bagi membolehkan pemain mempunyai ruang untuk memulihkan tenaga ketika permainan berlangsung.

“Jika pemain sentiasa mengejar lawan di seluruh padang selama 40 minit, sudah tentu mereka akan keletihan apabila berjaya memenangi bola.

“Kami mahu mencari keseimbangan antara sistem satu lawan satu dan zon supaya pemain dapat bermain mengikut kekuatan Malaysia iaitu serangan balas,” katanya.

Brendan turut berkata, skuad negara sebelum ini terlalu bergantung kepada sistem kawalan individu dalam dua hingga tiga tahun kebelakangan ini dan kini tiba masanya pendekatan lebih fleksibel diterapkan.

Dalam pada itu, Carolan menolak tanggapan bahawa masalah utama Speedy Tigers hanya berkaitan kecergasan pemain semata-mata, sebaliknya menegaskan sistem permainan turut memainkan peranan penting.

“Kita tidak boleh hanya mengatakan pemain tidak cergas. Struktur dan sistem permainan juga penting untuk membantu pemain tampil lebih efektif di atas padang,” katanya.

Brendan menyenaraikan 34 pemain untuk menjalani kem latihan skuad kebangsaan bagi menghadapi Kejohanan Piala Negara-Negara yang akan berlangsung di Afrika Selatan dari 11 hingga 20 Jun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN