LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta tidak mahu anak buahnya terus hanyut dalam pesta menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) sebaliknya memberi tumpuan kepada aksi final Liga Juara-Juara Eropah menentang Paris Saint Germain (PSG) pada Ahad ini.
Pengendali dari Sepanyol itu menamatkan penantian panjang selama 22 tahun apabila Arsenal menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan penuh emosi.
Arsenal melengkapkan musim luar biasa mereka dengan kemenangan 2-1 ke atas Crystal Palace di Selhurst Park, hasil jaringan Gabriel Jesus dan Noni Madueke.
Kemenangan itu mengesahkan The Gunners menamatkan saingan tujuh mata di depan pencabar terdekat, Manchester City.
Trofi liga sebenarnya sudah menjadi milik Arsenal lebih awal selepas City sekadar seri menentang Bournemouth, namun majlis penyampaian trofi selepas perlawanan menghadirkan detik penuh emosi buat Arteta dan seluruh kem Arsenal.
Kapten Martin Odegaard mengangkat trofi sambil disaksikan ribuan penyokong yang membanjiri satu sudut stadium, manakala Arteta sendiri gagal menahan sebak sebelum diraikan pemain-pemainnya.
“Amat sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Begitu banyak emosi, kegembiraan dan rasa bangga.
“Kami sudah menempuh perjalanan panjang. Kami pernah hampir mencapainya beberapa kali tetapi gagal dan rasa sakit itu yang mendorong kami menjadi lebih kuat.
“Kami mahu gunakan tenaga luar biasa ini. Kami tidak sabar menulis satu lagi bab baharu dalam sejarah kelab dan menjulang Liga Juara-Juara,” katanya.
Selepas menamatkan kemarau trofi selama enam tahun, Arteta mengakui ada ketika beliau sendiri tertanya-tanya sama ada Arsenal mampu melepasi tekanan perebutan gelaran selepas tiga kali sekadar bergelar naib juara. – AGENSI/UTUSAN










