LONDON: Arsenal bakal mencatat pendapatan tertinggi dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas kempen cemerlang musim 2025-26, apabila kelab London Utara itu berpotensi meraih sehingga 770 juta pound (RM4.12 bilion).
Menurut laporan The Times, jumlah berkenaan mengatasi rekod 715 juta pound (RM3.81 bilion) yang dicatat Manchester City pada musim 2023-24, sekali gus meletakkan Arsenal hampir menyertai kelompok tiga kelab terkaya dunia di belakang Real Madrid dan Barcelona.
Pendapatan Arsenal meningkat sekitar 79 juta pound (RM421 juta) berbanding musim lalu hasil kejayaan mereka di semua pertandingan, termasuk menjuarai EPL dan mara ke final Liga Juara-Juara.
Kempen EPL sahaja telah menyumbang sekitar 192 juta pound (RM1.02 bilion) kepada pendapatan Arsenal, dibantu peningkatan hak penyiaran televisyen serta bonus tambahan 3 juta pound (RM16 juta) selepas menamatkan saingan di tangga teratas.
Arsenal turut mengaut kira-kira 124 juta pound (RM661.3 juta) hasil perjalanan mereka ke final Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain (PSG) pada 30 Mei ini, dengan tambahan 4 juta pound (RM21.3 juta) menanti jika muncul juara Eropah buat kali pertama.
Pendapatan komersial pula menyumbang sekitar 290 juta pound (RM1.55 bilion), manakala hasil hari perlawanan dianggarkan mencecah 160 juta pound (RM8533.3 juta) sepanjang musim ini.
Bagaimanapun, laporan itu turut menyebut Arsenal masih berdepan kemungkinan mencatat kerugian keseluruhan susulan perbelanjaan besar dalam pasaran perpindahan pemain serta peningkatan ketara gaji skuad utama.
Pemain Arsenal juga dijangka menerima bonus lumayan hasil kejayaan mara ke final Liga Juara-Juara, sekali gus menambah lagi kos operasi kelab bagi musim ini. – AGENSI/UTUSAN










