Wei Chong cari semula sentuhan terbaik

Wei Chong cari semula sentuhan terbaik

Man Wei Chong (kiri) berdepan kecederaan lutut sebelum ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Man Wei Chong yakin mampu berada pada tahap terbaik menjelang saingan Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini.

Pemain berusia 27 tahun itu mengakui kecederaan lutut kanan yang dialaminya sebelum ini semakin pulih, namun dia masih dalam proses menyesuaikan diri untuk kembali bersaing pada intensiti tertinggi.

Menurutnya, tahap permainannya ketika ini masih belum mencapai prestasi sebenar, namun ia bukan disebabkan faktor kecederaan sebaliknya berpunca daripada aspek permainan sendiri.

“Saya rasa gembira kalau ada peluang untuk bermain di Piala Thomas nanti dan saya hanya akan berikan yang terbaik jika diturunkan selain tidak ada tekanan sangat untuk bermain.

“Prestasi saya memang tidak 100 peratus sekarang tetapi ia bukan berpunca daripada kecederaan, mungkin sebab prestasi sendiri kurang bagus kerana pergerakan juga agak lambat,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.

Terdahulu, Wei Chong yang digandingkan bersama Tee Kai Wun gagal mencipta impak apabila tersingkir seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China minggu lalu.

Justeru, dia bertekad untuk segera mendapatkan semula rentak permainan bagi membantu skuad negara menghadapi cabaran Piala Thomas, lebih-lebih lagi mereka dijangka menggalas peranan sebagai beregu kedua.

“Pergerakan kami ada sedikit lambat dan tidak dapat menyaingi rentak pemain lawan yang mempunyai standard tersendiri selain bertaraf dunia dan itu perkara yang kami perlu perbaiki,” ujarnya.

Pada saingan Piala Thomas nanti, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama England, Finland serta juara edisi 2014, Jepun.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN