PETALING JAYA: Pusingan akhir Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional, Nilai dijangka menjadi penampian terakhir jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang di laman sendiri.
Beliau yang memberi bayangan Sukan Asia 2026 pada September ini sebagai pentas terakhir sebelum menutup karier, dilihat berada pada landasan terbaik untuk mencipta kejayaan di hadapan penyokong sendiri.
Berbanding pencabar utama yang mengharungi jadual padat di Hong Kong minggu lalu, Azizulhasni yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman tampil lebih segar selepas tidak menyertai pusingan tersebut, sekali gus memberinya kelebihan dari sudut tenaga dan pemulihan.
Kelebihan itu menjadi elemen penting menjelang aksi keirin hari ini apabila pelumba berusia 38 tahun itu mengakui pendekatan perlumbaannya kini lebih tertumpu kepada strategi berbanding kekuatan semata-mata.
“Saya sekarang berada di fasa berbeza dalam karier, bukan lagi seperti usia 20-an yang lebih agresif, jadi saya perlu ubah pendekatan dari segi latihan dan strategi perlumbaan.
“Fokus saya adalah untuk kekal kompetitif sambil mengurus tenaga kerana jadual perlumbaan sekarang jauh lebih mencabar,” katanya.
Menjelang aksi keirin hari ini, Azizulhasni dijangka tidak berdepan laluan sukar pada pusingan pertama saringan ketujuh yang dilihat memberi peluang cerah untuk mara terus ke pusingan seterusnya tanpa perlu melalui repechage.
Kelebihan itu cukup signifikan dalam acara keirin yang menuntut penggunaan tenaga maksimum, sekali gus membolehkannya menyimpan kekuatan bagi menghadapi saingan lebih mencabar di peringkat seterusnya.
“Cabaran utama adalah untuk kekal kuat hingga ke penghujung perlumbaan kerana format sekarang memerlukan lebih banyak pusingan, jadi pengurusan tenaga sangat penting,” katanya.
Selain Azizulhasni, seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang turun dalam saringan keenam turut dijangka tidak berdepan masalah untuk melangkah ke pusingan kedua.
Untuk rekod, Azizulhasni memulakan musim dengan cemerlang apabila meraih emas keirin di Perth selain membawa pulang gangsa dalam acara pecut individu lelaki.-UTUSAN










