LONDON: Manchester United kini melalui fasa penting pembentukan semula skuad selepas mengharungi musim lalu yang mengecewakan.
Dengan kekangan kewangan, kelab itu terpaksa membuat pilihan sukar antara dua penyerang iaitu Benjamin Sesko dari RB Leipzig atau Ollie Watkins milik Aston Villa.
Pengurus baharu, Ruben Amorim amat memerlukan penyerang No. 9 yang prolifik bagi memperkukuh jentera serangan selepas Rasmus Hojlund dan Joshua Zirkzee hanya menyumbang tujuh gol daripada 64 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, angka yang jelas tidak cukup untuk jenama besar seperti United.
United sudah pun menambah Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo tetapi masih mencari penyerang utama yang boleh menjamin jaringan secara konsisten.
United sudah menghubungi wakil Sesko untuk membentangkan projek jangka panjang di Old Trafford, walaupun RB Leipzig meletakkan tanda harga tinggi sekitar 70 juta pound (RM395 juta).
Newcastle United turut berminat mendapatkan Sesko, terutamanya jika mereka melepaskan Alexander Isak kepada Liverpool.
Meskipun tidak beraksi di pentas Eropah musim ini, United tetap optimis dapat memenangi hati penyerang muda Slovenia itu, namun kekangan bajet menjadi penghalang.
Sebagai alternatif, nama Watkins menjadi pilihan munasabah apabila Aston Villa meletakkan nilai sekitar 60 juta pound (RM339 juta), tetapi United percaya mereka mungkin boleh menurunkannya kepada 45 juta pound (RM254 juta), bergantung pada struktur tawaran.
Dari segi ketajaman di depan gawang, Sesko lebih klinikal namun, Watkins menawarkan nilai tambah dari segi umpanan gol dan keterlibatan dalam permainan menyerang serta lebih berpengalaman di EPL.
Sesko yang berusia 22 tahun itu dianggap sebagai pelaburan masa depan, dan pemilik bersama United, Sir Jim Ratcliffe, melihatnya sebagai aset yang mempunyai potensi nilai jualan semula lebih tinggi.
Namun, Watkins memberi jaminan prestasi segera, lebih matang serta sudah terbukti dalam suasana kompetitif EPL.
Dengan jendela perpindahan semakin hampir ke penghujungnya, tekanan semakin memuncak dan pilihan ini mungkin menjadi salah satu penentu musim United akan datang. – AGENSI/UTUSAN










