Kontinjen angkat berat tuai pingat di Astana

Kontinjen angkat berat tuai pingat di Astana

Siti Aqilah Farhana Draman membawa pulang perak dalam kategori atas 86 kilogram Kejohanan Angkat Berat Belia dan Remaja Asia 2025 di Kazakhstan, kelmarin. - IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kontinjen angkat berat negara menunjukkan prestasi cemerlang apabila membawa pulang satu pingat perak dan satu gangsa dalam Kejohanan Angkat Berat Belia dan Remaja Asia yang diadakan di Kazakhstan pada 1 hingga 11 Julai lalu.

Atlet angkat berat wanita negara, Siti Aqilah Farhana Draman membawa pulang perak dalam kategori atas 86 kilogram (kg) remaja manakala gangsa diperolehi menerusi Nurul Syasya Khairina bagi kategori 63kg belia.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata, kejohanan tersebut menjadi platform terbaik kepada atlet muda angkat berat negara dalam menggalas cabaran menghadapi kejohanan yang lebih besar.

“Satu pencapaian yang baik daripada atlet negara kerana mereka dalam proses pendedahan dengan menyertai kejohanan di luar negara. Ikutkan umur mereka masih dalam lingkungan 21 tahun.

“Kita akan terus memberi pendedahan kepada atlet-atlet muda ini supaya mereka tahu jumlah angkatan mereka itu sesuai atau pun tidak untuk bersaing secara kompetitif di luar negara.

“Kesemua atlet ini perlu berusaha dengan lebih gigih lagi. Mereka ini adalah masa depan untuk sukan angkat berat di negara kita,” katanya.

Selepas ini, kontinjen angkat berat negara akan berlepas ke India bagi menyertai Kejohanan Angkat Berat Komanwel di India pada Ogos ini dalam usaha mereka memburu tiket ke Sukan Komanwel Glasgow 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN