PETALING JAYA: Skuad hoki kebangsaan perlu membuktikan diri mereka sememangnya layak untuk menerima dana tambahan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan menunjukkan keputusan cemerlang dalam setiap kejohanan disertai.
Penganalisis sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, berdasarkan pencapaian skuad hoki kebangsaan di Piala Negara-Negara minggu lalu jelas menunjukkan pasukan bimbingan Sarjit Singh itu masih ketinggalan.
Katanya lagi, jika dana tambahan diperlukan semata-mata untuk mengadakan siri jelajah Eropah, Speedy Tigers perlu berada dalam keadaan benar-benar bersedia sebelum menyertainya.
“Tahun lepas ada jelajah Eropah dan kita kalah teruk. Kita bukan sekadar nak buat jelajah Eropah semata-mata sebab pasukan perlu tunjukkan peningkatan.
“Kena tengok ada peningkatan atau tidak daripada segi pencapaian. Jadi, pasukan kena hasilkan satu keputusan yang bagus kerana buat masa sekarang saya tak nampak lagi pemain yang betul-betul menonjol dalam pasukan,” katanya.
Speedy Tigers yang diletakkan sasaran layak ke separuh akhir dalam Piala Negara-Negara gagal mencapainya selepas mereka menamatkan saingan di tempat keenam keseluruhan.
Bekas pemain kebangsaan, Maninderjit Singh kelmarin menyifatkan kekurangan pemain berkualiti di pentas antarabangsa antara punca pasukan hoki kebangsaan gagal melangkah lebih jauh dalam kejohanan yang disertai.
Maninderjit yang beraksi pada Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan Sydney 2000 berkata, tidak ramai pemain yang membarisi pasukan negara ketika ini mempunyai kualiti setanding di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, bekas jurulatih kebangsaan, Muhammad Dharma Raj Abdullah menjadikan Argentina sebagai contoh apabila mereka masih berupaya memperoleh kejayaan tanpa perlu mengeluarkan belanja besar.
“Sebagai contoh Argentina, persatuan tidaklah mempunyai banyak duit untuk ke Eropah sebab mereka juga jauh dan apa yang mereka lakukan adalah mereka menghantar pemain muda berkualiti beraksi di liga Eropah seperti di Jerman, Belanda dan Belgium.
Sebagai rekod, Speedy Tigers dimalukan dengan kekalahan 10-1 kepada Jerman pada perlawanan ujian hoki siri Jelajah Eropah di Monchengladbach, Jerman pada 7 Julai 2024.










