RM700 juta cukup untuk Sukan SEA 2027

RM700 juta cukup untuk Sukan SEA 2027

KONTINJEN Malaysia yang beraksi di Sukan SEA edisi lalu di Kemboja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bajet sebanyak RM700 juta diyakini mampu untuk memastikan Malaysia dapat menganjurkan Sukan SEA 2027 secara gemilang seperti edisi terakhir menjadi tuan rumah pada 2017.

Bekas ketua kontinjen Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, Datuk Marina Chin, berkata bajet itu memadai berikutan kerajaan hari ini mahu menjimatkan kos, lebih-lebih lagi dengan kerjasama tiga negeri yang terlibat.

“Saya rasa bajet Sukan SEA 2027 ini memadai dan saya merasakan kerajaan hari ini mahu mengurangkan kos perbelanjaan. Kalau tidak bajet akan menjadi terlalu besar. Kita tengok kita ada masalah bajet ketika Sukan Komanwel 1998.

“Saya percaya kalau kerajaan pandai mengurangkan kos dan tiga negeri beri kerjasama, kemungkinan bajet yang disediakan mencukupi,” katanya kepada pemberita pada acara Konvoi Jiwa Merdeka di sebuah pusat membeli-belah di sini, semalam.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata Sukan SEA 2027 akan menelan kos perbelanjaan RM700 juta dengan Sarawak memperuntukkan RM300 juta manakala Sabah kira-kira RM100 juta dan Penang (RM15 juta).

Menurut Marina, penganjuran di empat buah negeri iaitu Sarawak, Sabah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur menjadi satu langkah yang tepat menangani kesesakan lalu lintas yang akan berlaku ketika temasya dwi tahunan itu berlangsung.

Menurut legenda pelari balapan era 70-an itu, tindakan KBS membuka kerjasama dengan tiga negeri ini mampu memastikan kelancaran temasya berkenaan tanpa melibatkan permasalahan lain kelak.

“Saya rasa itu satu idea yang bagus kerana ianya dapat membantu kerajaan untuk memastikan mengurangkan masalah yang terkumpul di satu tempat yang akan melibatkan kesesakan lalu lintas, kos dan lain-lain lagi.

“Kerajaan negeri juga dapat mempamerkan keistimewaan apa yang ada di negeri mereka dan pada saya, kita dapat berkongsi penganjuran dengan empat buah negeri ini adalah satu langkah yang sangat baik,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN