PETALING JAYA: Sentuhan kreatif anak tempatan terus mendapat pengiktirafan apabila graduan animasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Aiman Amri, dipilih sebagai pereka logo rasmi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027, sekali gus membuktikan bakat muda negara mampu menghasilkan karya bertaraf antarabangsa.
Aiman, 23, muncul pemenang menerusi penyertaan sulungnya dalam pertandingan mereka bentuk identiti temasya dwitahunan itu selepas berjaya mengetepikan penyertaan lain dengan konsep yang menggabungkan elemen warisan dan semangat kesukanan.
Graduan Diploma Animasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang kini mengikuti pengajian Ijazah Reka Bentuk Grafik secara sambilan itu berkata, ilham menghasilkan logo berkenaan tercetus apabila beliau melihat potensi angka ‘2027’ untuk diterjemahkan menjadi imej Burung Kenyalang yang turut menyerupai seorang atlet sedang melompat.
“Saya berinspirasi daripada angka ‘2027’ itu sendiri kerana saya nampak nombor itu boleh dibentuk menjadi Burung Kenyalang, selain memberi gambaran seorang ahli sukan yang sedang bergerak,” katanya.
Menurut Aiman, proses menyiapkan rekaan akhir mengambil masa hampir dua bulan dengan setiap lakaran diperincikan sebelum beliau yakin mempertaruhkan hanya satu logo bersama satu rekaan maskot dalam pertandingan itu.
Kejayaan tersebut menjadi lebih bermakna apabila Aiman yang berasal daripada keluarga sederhana merupakan anak sulung kepada seorang pengawal keselamatan dan ibu yang bekerja sambilan sebagai tukang jahit, sekali gus menjadikan pengorbanan ibu bapanya sebagai sumber inspirasi utama.
Beliau turut berpandangan kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan sebagai alat untuk memperkembangkan idea dan bukannya menggantikan kreativiti pereka tempatan yang memiliki kepakaran dalam bidang reka bentuk grafik, animasi serta kesan visual (VFX).
Kemenangan itu bukan sahaja menghadiahkan Aiman wang tunai RM8,000, malah membuka lembaran baharu dalam kariernya sebagai pereka kreatif.
Katanya, sebahagian daripada hadiah kemenangan itu akan dilaburkan untuk masa depan, manakala perkara pertama yang ingin dilakukannya ialah membawa keluarganya menikmati makan malam sebagai tanda penghargaan atas segala pengorbanan mereka.-UTUSAN










