PETALING JAYA: Skuad Speedy Tigers mempertaruhkan dua penjaga gol berpengalaman, Muhammad Zaimi Mat Deris dan Adrian Andy Albert bagi mengawal pintu gol negara dalam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2024 di Hulunbair, Inner Mongolia.
Skuad kebangsaan yang kehilangan khidmat penjaga gol veteran, Hafizuddin Othman yang masih belum pulih daripada kecederaan kini menagih pengalaman Zaimi dan Adrian bagi mengekang asakan lawan pada kejohanan yang akan bermula 8 hingga 18 September ini.
Zaimi yang mempamerkan prestasi menyakinkan sepanjang Jelajah di Eropah, baru-baru ini, dijangka menjadi pilihan utama pengendali Speedy Tigers, Sarjit Singh, manakala, Adrian yang pernah beraksi pada Piala Dunia di India, tahun lepas selaku penjaga gol kedua.
Anak jati Terengganu, Zaimi ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, dia amat menghargai kepercayaan yang diberi kepadanya dan berjanji akan mengawal ketat pintu gol Speedy Tigers sepanjang kejohanan di Hulunbair.
“Kami ke Hulunbair untuk menebus kehampaan selepas tewas tipis 3-4 kepada India dalam perlawanan akhir (di Chennai, India), saya masih ingat kami mendahului pada awal permainan, tetapi, malangnya kami gagal pertahankan kedudukan itu,” katanya sewaktu ditemui selepas sesi latihan bersama skuad kebangsaan.
Menurut pemain berusia 27 tahun itu, dia dan rakan sepasukan yang lain telah melakukan persiapan rapi termasuk menyertai Jelajah Eropah, baru-baru ini dan amat berharap segala ilmu yang diperoleh sepanjang di sana dapat diterapkan sewaktu di Hulunbair nanti.
“Saya tahu kami bakal berdepan laluan yang sukar sepanjang berada di Hulunbair, tetapi saya bertekad untuk membantu Malaysia bagi mengekang asakan lawan,” ujarnya.
Sementara itu, Adrian memberitahu, kepercayaan yang diberi Sarjit kepadanya amat dihargai dan berjanji untuk memberikan aksi terbaiknya bersama Speedy Tigers.
“Kejohanan Trofi Juara-Juara merupakan penampilan antarabangsa pertama saya selepas Kejohanan Dunia di India, tahun lepas,” kata penjaga gol berusia 27 tahun itu.
Mengulas mengenai aksi pembukaan Malaysia yang akan berdepan Pakistan, anak jati Papar, Sabah itu yakin Malaysia mampu mengharungi perlawanan tersebut dan misi wajib menang perlu dicatat Speedy Tigers pada pertemuan itu nanti.-UTUSAN










