SEPANG: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang perlu berbincang bersama keluarganya terlebih dahulu mengenai penyertaannya di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman itu masih dibayangi dengan insiden beliau dibatalkan penyertaan ketika pusingan pertama keirin di Olimpik Paris, Sabtu lalu.
Beliau yang memutuskan untuk bersara selepas Olimpik Paris 2024 sebelum ini masih belum membuat keputusan rasmi selepas gagal membutirkan emas pertama negara.
Lebih mengecewakan, Azizulhasni tewas sebelum perlumbaan bermula sekali gus memberi tanda tanya kepada diri beliau sama ada untuk menembus kembali kekecewaannya di LA28.
Pelumba berusia 36 tahun itu mengakui, beliau sebelum ini meletakkan keluarga sebagai pilihan kedua sepanjang melakukan persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Beberapa hari selepas perlumbaan, Shah Firdaus, John Beasley dan pasukan saya berharap kalau boleh saya mempertimbangkan semula sehingga ke LA28.
“Namun saya perlukan masa untuk duduk bersama keluarga, kosongkan fikiran saya daripada apa yang berlaku. Perkara ini di luar kebiasaan dalam karier saya tetapi kalau saya berhenti saya masih akan aktif dengan sukan berbasikal.
“Saya tidak tahu bagaimana hendak gambarkan. Kita sebagai atlet ini makan,tidur, hidup untuk sukan dan negara.
“Bahkan saya letak keluarga saya nombor dua. Apa-apa memang sukan dulu. Cuti saya masih berlatih. Saya fikir untuk Olimpik,” kata Azizulhasni kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.
Dua tahun lalu ketika Azizulhasni didiagnosis dengan masalah jantung, keluarga beliau sudah meminta untuk berundur dari sukan terbabit.
Bagaimanapun, beliau yang lebih mesra disapa Jijoe berjanji mahu tampil di pentas Olimpik buat kali terakhir.
Sementara itu, Jijoe menambah biarpun mengambil keputusan untuk bersara itu menjadi kenyataan, beliau menegaskan bahawa beliau sedia membantu skuad pelapis negara.
“Saya akan terus berada dalam sukan ini (berbasikal trek). Jika mereka mahu bantuan, saya sedia memberi apa yang saya mampu. Shah Firdaus yang mahukan rakan regu saya juga akan sedia membantu beliau.
“Bersara tidak bermakna saya berundur daripada sukan ini. Apa-apa pelapis atau atlet ini perlukan, saya akan memberi sepenuh daya dan upaya saya,” jelasnya.-UTUSAN










