LONDON: Bekas pengurus England, Sven-Goran Eriksson meninggal dunia hari ini selepas menghidap kanser pankcreas.
Eriksson yang meninggal dunia pada usia 76 tahun pernah mendedahkan bahawa dia hanya memiliki tempoh untuk hidup selama setahun pada awal tahun ini.
“Sven-Goran Eriksson sudah menghembuskan nafas terakhirnya. Selepas berdepan dengan penyakit untuk tempoh masa panjang, SGE meninggal di samping keluarganya di rumah, pagi ini.
“Antara yang berada di sisinya adalah anak perempuannya, Lina selain anak lelakinya, Johan bersama isterinya, Amana dan cucunya, Sky serta beberapa ahli keluarga lain.
“Ahli keluarga berharap semua pihak dapat menghormati permintaan mereka untuk berkabung secara tertutup dan tidak dihubungi,” kata ahli keluarga Erikson dalam satu kenyataan.
Pengendali Sweden itu menjadi pengurus asing pertama untuk pasukan kebangsaan England pada 2001 dan mengendalikan ‘generasi emas’ dibarisi pemain seperti David Beckham, Steven Gerrard, Wayne Rooney dan Frank Lampard.
Dia juga mengendalikan beberapa kelab terkemuka Eropah seperti Benfica, Roma, Fiorentina, Sampdoria dan Lazio.
Eriksson meninggalkan England selepas Piala Dunia 2006 dan kemudiannya mengendalikan Mexico dan Ivory Coast serta kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Manchester City dan Leicester City.
Susulan masalah kesihatannya, dia mengundurkan dirinya daripada jawatan pengarah sukan di kelab Sweden, Karlstad pada Februari 2023. – AGENSI










