Andrik, Thanussa rangkul gelaran sulung Trofi Sharon Wee

Andrik, Thanussa rangkul gelaran sulung Trofi Sharon Wee

SHARON Wee (depan) bergambar bersama juara pertama Trofi Sharon Wee, Andrik Lim dan U. Thanussa di Melaka, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pilihan pertama, Andrik Lim dan U. Thanussa menepati ramalan merangkul gelaran untuk kategori premier pada Kejohanan Skuasy Trofi Sharon Wee yang berlangsung di Melaka, semalam.

Andrik, 20, pemain kelahiran Melaka, mengetepikan Veroon Heng menerusi kemenangan straight set 11-9, 11-9, 11-5 pada perlawanan akhir kategori premier lelaki.

Untuk kategori premier perempuan pula, juara remaja Asia, Thanussa, 18, menepati sasaran menewaskan Goh Zhi Xuan dalam aksi sengit 12-10, 11-7, 9-11, 11-5.

Trofi Sharon Wee julung kali dianjurkan di negeri Hang Tuah itu dan mengambil nama sempena bekas pemain kebangsaan tersebut yang merupakan anak jati Melaka.

Thanussa yang mewakili Malaysia pada Kejohanan Remaja Dunia, baru-baru ini, berkata, dia amat gembira dapat merangkul gelaran pada pertandingan tersebut yang pertama kali diadakan di Melaka.

“Kejayaan ini satu penghormatan buat saya, lebih-lebih lagi Sharon merupakan ‘role model’ saya. Beliau bukan setakat bekas pemain handalan skuasy Malaysia, malah, mentor kepada saya dan ramai lagi pemain muda,” katanya.

Sementara itu, bagi Andrik pula, kejayaan merangkul gelaran Trofi Sharon Wee cukup manis buatnya kerana dia merupakan anak kelahiran Melaka.

“Kebetulan saya sedang bercuti musim panas dan peluang beraksi pada Trofi Sharon Wee tidak mungkin saya lepaskan,” ujar penuntut Kolej Trinity, Connecticut, Amerika Syarikat itu.

Tambahnya, dia amat berharap kejayaannya pada Trofi Sharon Wee akan dapat diteruskan pula pada kejohanan di peringkat antarabangsa selepas ini.

Dalam pada itu, Sharon yang juga merupakan Naib Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) berkata, beliau berasa amat berbesar hati dengan kesudian penganjur menggunakan namanya bersempena nama sebuah kejohanan skuasy di Melaka.

“Saya bersedia untuk menyumbang kepakaran kepada negeri kelahiran saya, terutama dalam usaha kita melahiran lebih ramai pemain muda berbakat besar.

“Kalau boleh saya mahu menjadi sumber inspirasi kepada pemain muda ini bukan sahaja dalam bidang sukan, tetapi, juga dalam pendidikan dan kehidupan,” kata Sharon yang pernah menghuni ranking ke-18 dunia dan pemain No. 1 negara.

Trofi Sharon Wee dianjurkan di atas insiatif Majlis Sukan Negeri Melaka dan Persatuan Raket Skuasy Melaka (MSRA). – UTUSAN

Berikut merupakan keputusan penuh Kejohanan Skuasy Trofi Sharon Wee:

Kategori Perempuan Premier: U. Thanusaa menewaskan Goh Zhi Xuan 12-10, 11-7, 9-11, 11-5
Kategori Lelaki Premier: Andrik Lim menewaskan Veroon Heng 11-9, 11-9, 11-5 Kategori Campuran Bawah 15 Tahun: S. Kavinassh menewaskan Lee Jia Qing 11-4, 13-11, 11-5
Kategori Perempuan Bawah 11 Tahun: S. Shruuthi menewaskan M. Dakshanaa 11-3, 8-11, 11-3,11-7
Kategori Lelaki Bawah 11 Tahun: Lee Jia Le menewaskan Mabilesh Sarovanan 11-7, 13-15, 11-3, 10-12, 11-6
Kategori Campuran Novis: Nabah Hakim menewaskan Muhammad Umar Amsyar 12-10, 11-0, 9-11, 11-1

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×