PETALING JAYA: Selepas terkeluar daripada radar ‘wajah baharu’ skuad Speedy Tigers, pemain pertahanan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Faiz Helmi Jali kini dipanggil semula menjelang siri jelajah perlawanan antarabangsa Eropah, minggu depan.
Ketua jurulatih kebangsaan, Sarjit Singh berkata, pengalaman yang luas pemain berusia 32 tahun itu diperlukan untuk dijadikan mentor kepada pemain muda hoki negara khususnya di bahagian pertahanan.
“Selepas melalui dua kejohanan (Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Negara-negara) barisan kejurulatihan berpendapat mahukan lebih pemain yang berpengalaman untuk memantapkan barisan dan Faiz Helmi diberikan tanggungjawab itu.
“Beliau (Faiz Helmi) sudah menjalani latihan selama dua minggu ini dan barisan jurulatih menyaksikan kehadirannya berjaya mengubah momentum pasukan,” katanya dalam satu kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).
Sebelum ini, nama Faiz Helmi tercicir dalam senarai panggilan untuk mewakili Speedy Tigers selepas Sarjit mahu membentuk skuad baharu yang dianggotai lebih ramai pemain muda.
Dalam pada itu, Sarjit mengulas mengenai siri antarabangsa bermula 1 Julai bagi menilai tahap prestasi pasukan dalam perlawanan berintensiti tinggi.
“Kami (barisan kejurulatihan) mengharapkan pasukan dapat memperbaiki kesilapan pada dua kejohanan yang lalu agar memastikan pemain dapat mengambil pengalaman untuk mempamerkan aksi berkualiti,” kata Sarjit.
Terdahulu, Sarjit menggugurkan lima pemain iaitu Adrian Andy Albert (penjaga gol), Luqman Nul Hakim, Muhammad Arif Syafie Ishak (pertahanan), Mughni Mohamad Kamal dan Naaveennash Panicker selaku pemain tengah untuk menjadikan 20 wakil sahaja ke siri jelajah terbabit.
Speedy Tigers akan berlepas ke Brussels, Belgium hari ini bagi pertemuan pasukan Sukan Olimpik Paris 2024, iaitu Belanda, Jerman dan Belgium.










