PETALING JAYA: Skuad badminton negara bakal berdepan ujian yang paling getir menentang pilihan pertama, China dalam aksi separuh akhir Piala Thomas 2024, hari ini.
Sememangnya diakui misi merobohkan ‘tembok besar’ China bukanlah satu tugas mudah namun, segalanya tidak mustahil buat barisan pemain negara dalam kempen kali ini.
Untuk meraih kemenangan dan mara ke final, pemain negara perlu kurangkan kesilapan dan menguatkan mental kerana mereka juga akan berdepan ribuan peminat pasukan tuan rumah.
Bagi bekas pemain perseorangan kebangsaan, Roslin Hashim berkata, kekuatan mental merupakan satu-satunya aspek yang perlu ada dalam diri para pemain negara.
Katanya, jika aspek berkenaan berjaya dikuasai,segala-gala yang diusahakan dalam gelanggang bakal membuahkan hasil dan menghadiahkan kemenangan buat Malaysia.
“Bagi saya tiada yang mustahil untuk kita tumbangkan China, saya bagi peluang 50-50 atau 60-40, berpihak kepada skuad negara.
“Apa yang penting ialah mental kena kuat, jika para pemain berjaya atasinya, maka, kesilapan juga akan dapat dikurangkan untuk mereka bermain baik.
“Kelebihan China ialah mereka bermain di tempat sendiri, bagi saya apabila acara berpasukan seperti Piala Thomas, ranking, rekod pertemuan bukan menjadi penghalang utama, semangat hendak menang itu yang lebih penting,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bekas pemain No. 1 dunia itu memberitahu, setiap pemain tanpa mengira muda atau senior memiliki peranan masing-masing dalam sesebuah pasukan.
Jelasnya, walaupun, pemain No. 10 dunia, Lee Zii Jia memiliki tugas berat untuk mengutip mata pertama, tetapi, bagi beliau pemain yang berada di tengah iaitu perseorangan kedua, Leong Jun Hao turut berada pada posisi yang penting.
“Macam kita tengok semalam (kelmarin) berdepan Jepun, apabila Zii Jia menang, semangat dalam pasukan terus naik, tetapi, beregu kita kalah dan dekat sini, peranan pemain yang di tengah iaitu perseorangan kedua.
“Apabila Jun Hao berjaya menewaskan Koki (Watanabe), semangat untuk menang itu terus naik, itu sebab saya cakap peranan perseorangan kedua sangat penting, selain kemenangan pemain-pemain utama,” ujarnya.
Jika Malaysia berjaya melepasi halangan China, maka, skuad negara berpeluang mengulangi pencapaian 2014 di New Delhi, India mara ke perlawanan akhir dan sekaligus, mengintai peluang mengakhiri kemarau gelaran selama 32 tahun.-UTUSAN










