Skuad Piala Thomas perlu dinilai semula menjelang Sukan Asia

Skuad Piala Thomas perlu dinilai semula menjelang Sukan Asia

Rexy Mainaky
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pencapaian skuad Piala Thomas di Horsens, Denmark perlu dinilai semula dengan teliti kerana selepas ini skuad kebangsaan bakal berdepan cabaran pada Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun pula.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Malaysia, Rexy Mainaky berkata, temasya empat tahun sekali itu turut mempertandingkan acara berpasukan dan individu, justeru, pencapaian pada Piala Thomas akan menjadi kayu pengukur sebagai persediaan Sukan Asia.

“Dari sekarang ini kita ada dua tahun lagi untuk Piala Thomas, tetapi, perkara ini tak boleh jadi lagi kerana ada Sukan Asia.

“Sukan Asia itu ada acara berpasukan dan individu, jadi, ini yang harus kita sedar, pasukan negara perlu buat lebih baik lagi untuk Sukan Asia,” katanya dalam satu kiriman video dari Horsens oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), hari ini.

Semalam, skuad lelaki negara tewas 0-3 kepada juara bertahan, China pada suku akhir dengan Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik kalah kepada lawan masing-masing.

Mengulas mengenai persembahan skuad kebangsaan di Horsens, menurut Rexy, secara keseluruhan pasukan negara telah berusaha memberikan yang terbaik, tetapi, Malaysia tunduk kepada sebuah pasukan yang lebih bagus.

Katanya, selepas ini, penilaian semula perlu dibuat menjelang Sukan Asia kerana melalui Piala Thomas sudah dapat dilihat prestasi barisan pemain.

“Kesilapan kita ialah sewaktu kita tewas kepada Jepun di peringkat kumpulan dan gagal muncul juara kumpulan

“Saya cakap pasal ini bukan kita mahu jumpa pasukan yang lebih senang atau tidak, tetapi, perkara macam mana kita harus fokus untuk bermain mantap di peringkat kumpulan dan pusingan kalah mati,” ujarnya.

Pengendali kelahiran Indonesia itu berkata, skuad negara sebenarnya sudah berada di landasan yang betul apabila melepasi halangan peringkat kumpulan, cuma tuah tidak menyebelahi Malaysia sewaktu suku akhir.

Rexy turut melahirkan rasa peliknya dengan prestasi yang dipamerkan para pemain yang tidak mampu konsisten ketika menentang China.

“Kenapa di suku akhir kita punya pesembahan sangat bertentangan sewaktu kita lawan Jepun, persembahan Aaron dan Wooi Yik hanya baik di set pertama dan China pula sangat dominan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN