Lebih 40 peratus populasi yang dijatuhi hukuman mati di seluruh dunia berada di Asia

Lebih 40 peratus populasi yang dijatuhi hukuman mati di seluruh dunia berada di Asia

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 40 peratus individu yang dijatuhi hukuman mati di seluruh dunia berada di Asia dan menjadikan rantau ini antara tumpuan utama dalam usaha memperjuangkan pemansuhan hukuman berkenaan.

Pengarah Bersama Eleos Justice di Monash Law, Sara Kowal berkata, reformasi undang-undang yang dilaksanakan beberapa negara termasuk Malaysia membuktikan terdapat ruang untuk memperluas usaha pemansuhan hukuman mati di rantau ini.

Katanya, pemansuhan hukuman mati mandatori di Malaysia pada 2023 serta pelaksanaan proses semakan semula hukuman boleh dijadikan model kepada negara lain dalam melaksanakan pembaharuan sistem keadilan jenayah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Reformasi di sesebuah negara menunjukkan apa yang boleh dicapai oleh negara lain. 

“Pemansuhan hukuman mati mandatori di Malaysia dan pelaksanaan proses penyemakan semula hukuman memberikan rantau ini satu model yang boleh dijadikan rujukan, dengan penekanan terhadap pemulihan,” katanya  sempena Persidangan Serantau Ending the Death Penalty in Asia: Reform Pathways, Comparative Perspectives, and Path Forward yang berlangsung di sini hari ini.

Persidangan itu dianjurkan Monash University Malaysia, Eleos Justice di Monash Law, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) dan Rashid Zulkifli Advocates and Solicitors dengan kerjasama Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN).

Persidangan itu turut menghimpunkan pakar undang-undang, penggubal dasar, ahli akademik dan wakil masyarakat sivil bagi membincangkan halangan perundangan, politik serta pendekatan praktikal ke arah pemansuhan hukuman mati di rantau Asia Pasifik.

Antara yang menyertai persidangan tersebut ialah Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; bekas Presiden Filipina, Gloria Macapagal-Arroyo serta Menteri Negara bagi Undang-Undang dan Keadilan Pakistan, Aqeel Malik.

Mengulas lanjut, Sara berkata, Indonesia kini mencapai tempoh 10 tahun tanpa pelaksanaan hukuman mati, manakala Vietnam pula mengurangkan bilangan kesalahan yang boleh dikenakan hukuman berkenaan.

Menurutnya, perkongsian pengalaman antara negara penting bagi mengenal pasti pendekatan reformasi yang berkesan, khususnya ketika hukuman mati masih dilaksanakan di beberapa negara Asia termasuk bagi kesalahan berkaitan dadah.

Sementara itu, Pengarah Bersama Eleos Justice, Thaatchaayini Kananatu berkata, pelaksanaan hukuman mati bagi kesalahan dadah sering dipertahankan menerusi naratif memerangi dadah tanpa mengambil kira kesannya terhadap golongan terpinggir.

Katanya, individu daripada keluarga berpendapatan rendah serta mereka yang mempunyai akses terhad kepada pendidikan dan sokongan psikososial berisiko menerima kesan yang tidak seimbang akibat pelaksanaan hukuman berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini