WASHINGTON: Rancangan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth, untuk menyiarkan secara langsung pelaksanaan hukuman mati terhadap bekas mejar tentera mencetuskan bantahan pelbagai pihak, termasuk ahli politik dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pengkritik turut memberi amaran tindakan menjadikan hukuman mati sebagai tontonan umum boleh memberi ruang kepada kumpulan ekstremis untuk memanfaatkannya sebagai bahan propaganda.
Hegseth pada Khamis berkata, Nidal Hasan, yang dijatuhi hukuman mati selepas membunuh 13 orang dan mencederakan 32 yang lain dalam kejadian tembakan di Fort Hood, Texas, pada 2009, akan menjalani hukuman mati menggunakan skuad penembak pada 3 Disember ini di pangkalan tentera itu.
Nidal, bekas pakar psikiatri tentera, disabitkan atas 13 pertuduhan membunuh dengan niat dan 32 tuduhan cubaan membunuh pada 2013. Dia kini ditahan di Fort Leavenworth, Kansas.
Isnin lalu, Pentagon mengumumkan Presiden AS, Donald Trump, meluluskan cadangan pelaksanaan hukuman mati itu.
“Nidal wajar dikenakan hukuman mati, tetapi menjadikan pelaksanaannya tontonan umum dan menyiarkan secara langsung? Itu benar-benar menjijikkan,” kata Senator Republikan dari Carolina Utara, Thom Tillis, menerusi platform X.
Demokrat turut menyuarakan kebimbangan sama dengan menegaskan hukuman di khalayak ramai akan menjadikan keadilan sebagai tontonan, bukan menegakkan kedaulatan undang-undang.
Ahli Dewan Perwakilan AS, Adam Smith, berkata pelaksanaan hukuman mati secara terbuka akan memperlekehkan sistem perundangan negara.
Sementara itu, PBB menyifatkan rancangan tersebut sebagai menjijikkan dan menegaskan tindakan itu boleh melanggar larangan terhadap penyeksaan.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, berkata pelaksanaan hukuman mati secara terbuka boleh dianggap sebagai satu bentuk layanan atau hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah.
“Kerajaan yang melaksanakan hukuman mati di khalayak ramai atau di hadapan kamera yang menyiarkannya secara langsung, terus terang, adalah sesuatu yang menjijikkan,” katanya pada taklimat harian PBB di New York kelmarin.- AGENSI











