Elak kesihatan Azizulhasni merosot di Olimpik

Elak kesihatan Azizulhasni merosot di Olimpik

JAGUH basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menjalani latihan di Velodrom Nasional Nilai di Nilai, Negeri Sembilan semalam sebagai persiapan untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik Paris 2024. GAMBAR - AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang akan menjalani sesi latihan berbeza menjelang 71 hari sebelum bermulanya saingan Sukan Olimpik Paris 2024.

Ketua jurulatih basikal trek negara, John Beasley berkata, pada usia Azizulhasni mencecah 36 tahun, jaguh negara itu hanya akan diberikan latihan ringan bagi mengekalkan prestasi.

Beasley berkata, strategi itu langkah berjaga-jaga dalam persiapan latihan untuk memastikan tahap kesihatan Azizulhasni berada dalam keadaan terbaik menjelang aksi di Paris.

“Persiapan Azizulhasni sangat baik begitu juga dengan atlet yang lain. Saya hanya memberinya latihan yang ringan dan membenarkan beliau ke kejohanan untuk mengekalkan momentumnya. 

“Apa yang saya tekankan kepadanya bukan latihan tetapi tahap kesihatannya, jika semua baik, tiada masalah untuk berkayuh di Paris,” kata Beasley kepada Utusan Malaysia.

Azizulhasni yang popular dengan gelaran The Pocket Rocketman mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi atlet lelaki pertama negara beraksi di lima edisi temasya Olimpik.

Dalam perkembangan lain, Beasley turut berpuas hati dengan prestasi Azizulhasni ketika menyertai Piala Trek Jepun pada minggu lalu.

“Ianya adalah satu pertandingan serta menjadi satu inisiatif sebagai latihan. Kami berjaya mencapai objektif walaupun perlumbaan itu sangat sukar untuk Azizulhasni,” katanya.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu masih dalam kelasnya tersendiri selepas merangkul dua pingat gangsa pada Piala Trek Jepun I dan II yang berlangsung di Velodrom Izu, Shizuoka.

Selepas ini, Azizulhasni akan menyertai kejohanan kebangsaan di Velodrom Nilai hujung bulan ini sebelum berlepas ke Belgium Jun depan sebagai kejohanan terakhir sebelum saingan di Paris bermula.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN