China lebih tertekan sebagai tuan rumah - Rexy

China lebih tertekan sebagai tuan rumah – Rexy

PEMAIN negara meraikan kejayaan mara ke separuh akhir selepas menumpaskan Jepun 3-1, semalam-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peluang yang dimiliki skuad negara ke atas China adalah seimbang dan sebagai tuan rumah, seteru ketat Malaysia itu lebih tertekan berbanding skuad badminton kebangsaan, kata Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menjelang separuh akhir Piala Thomas, esok.

“Kita melihat China memiliki kekuatan dalam acara perseorangan, sementara, untuk beregu saya menilai peluang kita 50-50, sebagai tuan rumah tekanan kepada mereka, Malaysia datang dengan tujuan untuk memberikan yang terbaik,” katanya kepada pemberita di Chengdu, kelmarin.

Mengulas kejayaan anak-anak buahnya melangkah ke separuh akhir, Rexy berkata, beliau mahu anak-anak buahnya menikmati kejayaan yang di lakar setakat ini, tetapi, dalam masa sama pemain perlu berpijak kepada dunia nyata.

Dalam masa yang sama, Rexy tidak mahu barisan pemain terlalu berseronok kerana apa yang lebih penting para pemain perlu menjaga mental, pemakanan dan cukup tidur untuk persiapan separuh akhir.

“Saya mahu pemain berasa seronok, tetapi, jangan ‘over the moon’, kena berpijak kepada dunia yang nyata, tolong jaga mental, makan dan tidur anda bagi persiapan berdepan China,” ujarnya.

Kelmarin, Malaysia menumbangkan Jepun 3-1 dengan Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani menghadiahkan mata kemenangan buat Malaysia pada suku akhir.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai kejayaan mara sehingga ke separuh akhir, Rexy memberitahu, pencapaian mara ke peringkat empat terbaik telah mengatasi keputusan yang dicatat skuad kebangsaan pada Piala Thomas, dua tahun lalu, di mana Malaysia terkandas pada suku akhir.

Tambahnya, ia merupakan satu keputusan yang positif, namun, beliau berharap para pemain mengambil pendekatan mengorak langkah demi langkah seperti menaiki tangga satu per satu.

“Kita kena ambil satu demi satu langkah seperti menaiki tangga, akhirnya kita akan sampai dekat atas,” katanya yang turut mengakui sokongan motivasi bekas pakar psikologi Institut Sukan Negara (ISN), Frederick Tan telah banyak membantu persiapan Malaysia.

Menjawab pula persoalan tentang kekalahan beregu No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kepada pasangan Jepun, Rexy berkata, beliau tidak bimbang mengenai situasi itu kerana bermain dalam acara berpasukan, dokongan daripada rakan sepasukan lebih penting.

“Sewaktu menentang Denmark, Zii Jia kalah, Aaron-Woi Yik menang, tetapi, semasa berdepan Jepun keadaan berlaku sebaliknya, jadi, saya tidak bimbang kerana mereka saling bertindak balas antara satu sama lain,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN