Piala Uber: China tewaskan Singapura 5-0

Piala Uber: China tewaskan Singapura 5-0

SKUAD Piala Uber China mudah membenam cabaran Singapura 5-0 dalam aksi pembukaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad badminton wanita China menepati status mereka sebagai pilihan pertama selepas mudah mengetepikan cabaran Singapura 5-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan A pada Piala Uber di Chengdu, China, hari ini.

Jaguh No. 6 dunia, He Bing Jiao yang diletakkan selaku perseorangan utama menumpaskan Yeo Jia Min 21-15, 21-13 untuk menghadiahkan mata sulung buat tuan rumah.

China melebarkan kedudukan kepada 2–0, selepas beregu Liu Sheng Shu-Tan Ning mudah membenam gandingan Singapura, Xiao En Heng-Jin Yu Jia 21-4, 21-11.

Pemain No. 7 dunia, Han Yue memastikan kemenangan menjadi milik China selepas dia tidak berdepan sebarang masalah untuk menundukkan Insyirah Khan 21-8, 21-5 hanya dalam masa 27 minit.

Zhang Shu Xian-Zheng Yu yang turun sebagai beregu kedua tuan rumah meneruskan rentak kemenangan 21-3, 21-12 ke atas Elsa Lai-Michelle Zan, manakala, Wang Zhi Yi menewaskan Megan Lee 21-12, 21-10 bagi melengkapkan kemenangan China 5-0.

Kejayaan tersebut menyaksikan China yang menjadi pilihan untuk menjuarai Piala Uber, kini hanya sebelah kaki untuk mara ke suku akhir.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan A, India mengalahkan Kanada 4-1, manakala, Jepun dan Indonesia yang diundi dalam Kumpulan C turut beroleh kemenangan berharga dalam aksi pembukaan masing-masing.

Skuad wanita Jepun yang berdepan pasukan kerdil, Uganda, mudah membenam negara dari benua Afrika itu 5-0, sementara, Indonesia juga menumpaskan Hong Kong 5-0.

Dua pertemuan Kumpulan D membabitkan juara bertahan, Korea Selatan dan Denmark turut berkesudahan dengan keputusan yang dijangka apabila mereka tidak berdepan masalah mengetepikan lawan masing-masing.

Korea Selatan menewaskan Mexico 5-0, manakala wakil Eropah, Denmark membenam cabaran Amerika Syarikat juga dengan keputusan 5-0.

Sementara itu, skuad wanita negara akan membuka aksi mereka menentang Taiwan dalam saingan Kumpulan B pada pukul 8.30 pagi, esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN