KUALA LUMPUR: Tiada dasar atau kerjasama khusus antara Kementerian Pertahanan (Mindef) dengan kerajaan negeri berkaitan hal ehwal veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, bagaimanapun, kerajaan negeri tetap menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan veteran menerusi pelbagai inisiatif dan bantuan masing-masing.
Beliau berkata, antara contohnya ialah Kerajaan Negeri Pahang yang meluluskan serta mengedarkan 5,000 Kad Kesihatan Makmur Edisi Pahlawan bernilai RM500 kepada veteran ATM berusia 60 tahun ke atas yang bermastautin dan berdaftar sebagai pengundi di negeri itu.
Katanya, kad berkenaan membolehkan veteran mendapatkan rawatan di klinik swasta di Pahang, selain kerajaan negeri turut menyalurkan sumbangan kewangan kepada persatuan veteran ATM bagi menyokong pelaksanaan aktiviti mereka.
“Pada masa ini, tiada dasar atau bentuk kerjasama khusus antara kementerian atau Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dengan kerajaan negeri berkaitan hal ehwal veteran.
“Namun, melalui usaha promosi serta hubungan baik antara kementerian dengan kerajaan negeri, tidak dinafikan kerajaan negeri turut mengambil berat, mengiktiraf serta menghargai jasa komuniti veteran ATM dalam pelbagai bentuk,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Komander Nordin Ahmad Ismail TLDM (Bersara) (PN-Lumut) yang meminta kerajaan menyatakan tahap kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri dalam memperkasa pengiktirafan terhadap sumbangan veteran ATM.
Adly berkata, di Johor, kerajaan negeri sedang menyelaraskan maklumat terkini penerima Bantuan Kasih Johor (BKJ) bagi Fasa 1 dan Fasa 4, manakala JHEV ATM sedang mengemas kini data veteran berdaftar dalam sistem VIBES 2.0 untuk diserahkan kepada kerajaan negeri.
Tambah beliau, veteran ATM turut dilibatkan dalam pelbagai program peringkat negeri, termasuk sambutan Hari Kebangsaan dan program Malaysia MADANI.
Katanya, kerajaan negeri juga mengalu-alukan program anjuran Kementerian Pertahanan atau JHEV ATM yang memberi manfaat kepada komuniti setempat, termasuk veteran ATM. – UTUSAN











