Piala Thomas: India cemas sebelum benam Thailand

Piala Thomas: India cemas sebelum benam Thailand

H. S Prannoy tumpas di tangan jaguh No. 8 dunia, Kunvalut Vitidsarn untuk meletakkan Thailand mendahului 1-0 dalam aksi Piala Thomas 2024.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Juara bertahan, India dipaksa bekerja keras sebelum beroleh kemenangan 4-1 ke atas Thailand dalam aksi pembuka tirai Kumpulan C pada Piala Thomas di Chengdu, China, hari ini.

Dalam aksi itu, India dikejutkan dengan kekalahan pemain No, 9 dunia, H. S Prannoy yang tumpas di tangan jaguh No. 8 dunia, Kunvalut Vitidsarn 20-22, 14-21 untuk meletakkan Thailand mendahului 1-0.

Tersentak dengan kekalahan itu, India bangkit mengikat kedudukan 1-1 menerusi beregu No. 1 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang dipaksa bekerja keras selama 1 jam 5 minit sebelum menang ke atas Preeratcha Sukphun Pakkapon Teeraratsakul 21-19, 19-21, 21-12.

Pemain muda sedang meningkat naik India, Lakshya Sen yang kini menghuni ranking No. 13 dunia memastikan pasukan negaranya memintas Thailand 2-1 setelah dia mencatat kemenangan dalam aksi rubber set 21-12, 19-21, 21-16 ke atas Panitchaphon Teeraratsakul dalam masa 1 jam 3 minit.

Beregu kedua India, M. R. Arjun-Dhruv Kapila melaksanakan tugas mereka dengan baik apabila melengkapkan kemenangan pasukannya 3-1 selepas menundukkan Tanadon Punpanich-Wachirawit Sothon 21-19, 21-15.

Pemain No. 25 dunia, Srikanth Kidambi memastikan India mencatat kemenangan 4-1 selepas mudah menundukkan Saran Jamsri 21-9, 21-5 dalam masa 27 minit.

Sementara itu, Indonesia yang turut diundi dalam kumpulan sama dengan India, tidak berdepan sebarang masalah untuk menumpaskan England 5-0.

Dalam pada itu, aksi Kumpulan A membabitkan Korea Selatan dan tuan rumah, China menyaksikan kedua-dua gergasi badminton Asia itu melepasi halangan awal apabila mudah mengetepikan lawan masing-masing.

Korea Selatan yang diperkuatkan dengan kehadiran juara dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae tidak menghadapi masalah membenam Kanada 5-0, manakala, China juga menewaskan Australia 5-0.

Denmark yang diundi bersama Malaysia dalam Kumpulan D turut melakar kemenangan selesa ke atas wakil Afrika, Algeria dengan keputusan sama 5-0. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN