PETALING JAYA: Skuad badminton lelaki negara perlu turun menentang Hong Kong dalam aksi pertama Kumpulan D Piala Thomas, hari ini dengan semangat juang yang tinggi.
Kemenangan dalam aksi menentang Hong Kong sangat penting kerana ia secara tidak langsung mencerahkan peluang Malaysia untuk mara ke pusingan seterusnya.
Pengarah kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berkata, keserasian dan semangat dalam kalangan pemain diyakini bakal menjadi kunci kejayaan skuad negara.
“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, emosi pasukan dalam keadaan baik dan jika kita lihat, semuanya positif. Semua pemain telah menjalani latihan bersama dan bersemangat.
“Ini merupakan satu perkara yang positif. Saya harap ia berterusan dan saya juga tidak mahu ada sebarang pemikiran negatif sepanjang kami berada di sini (Chengdu, China),” kata Rexy.
Aksi pembukaan kumpulan D menyaksikan Pasukan Hong Kong menjadi cabaran penting buat skuad negara untuk melayakkan diri ke peringkat kalah mati.
Dalam pada itu, jurulatih perseorangan negara, Datuk Tey Seu Bock menyasarkan untuk mencuri dua mata dalam acara perseorangan dalam pertemuan dengan Kong Kong.
“Kami perlu memenangi satu atau dua perlawanan daripada perseorangan. Kami tidak boleh hanya bergantung kepada beregu walaupun kami kelihatan kuat di acara itu.
“Memang mereka tidak menjaminkan kemenangan tetapi peratusan kemenangan itu sebenarnya tinggi. Ianya adalah acara berpasukan, setiap mata penting.
“Saya harap sesiapa sahaja yang diturunkan, sama ada Lee Zii Jia, Leong Jun Hao mahupun Cheam June Wei dan Justin Hoh, kesemua mereka boleh tampil aksi yang terbaik,” ujar Seu Bock.-UTUSAN










