PETALING JAYA: Naib juara remaja dunia, Aira Azman bakal bertembung dengan kakaknya, Aifa pada pusingan kedua Kejohanan Skuasy Terbuka Australia di Sydney, Australia, esok.
Pemain yang menghuni ranking No. 44 dunia itu melepasi halangan pusingan pertama selepas dipaksa bekerja keras sebelum menang ke atas pemain Singapura, Wai Yhann Au Yeong 11-7, 11-7, 8-11, 9-11, 11-7.
Berdasarkan rekod pertemuan, kedua-dua adik beradik tersebut belum pernah menentang sesama sendiri di pentas antarabangsa dan Terbuka Australia bakal menjadi saksi Aira berdepan Aifa yang diletakkan sebagai pilihan keenam bagi merebut slot suku akhir.
Aifa yang berada di tangga ke-35 dunia mendapat bye pada pusingan pertama.
Aira, 19, ketika ditemu bual selepas perlawanan berkata, dia tidak bermain baik, hari ini, selepas mendahului 2-0 dan secara tiba-tiba diheret beraksi sehingga set kelima.
“Saya sebenarnya tidak tahu apa yang saya lakukan dalam set ketiga dan keempat, saya melakukan banyak kesilapan sehingga dipaksa bermain dalam set kelima.
“Bagaimanapun, saya kembali yakin dengan pukulan saya ketika beraksi dalam set penentuan, saya gembira berjaya mara dan bakal bertemu kakak saya,” katanya.
Mengulas mengenai pertemuan itu nanti, Aira memberitahu, dia menjangkakan pertembungan tersebut berlangsung sengit dan ia merupakan kali pertama mereka menentang antara satu sama lain.
“Kami memiliki jurulatih yang sama dan berlatih bersama sejak kecil lagi, malah, saya pernah menjadi jurulatihnya begitu juga sebaliknya jika jurulatih kami tidak ada.
“Memang sukar tetapi saya yakin kami berdua saling mengenali kekuatan dan kelemahan masing-masing, jadi, saya memang tidak sabar untuk beraksi, esok,” ujarnya.
Turut mengiringi Aira kepusingan kedua, seorang lagi pemain perseorangan wanita Malaysia, Chan Yi Wen yang mudah membenam pemain wild card yang merupakan wakil tuan rumah, Erin Classen 11-2, 11-4, 11-2.
Yi Wen yang menghuni ranking ke-87 dunia bakal berdepan lawan sebenar di pusingan kedua, esok, apabila pilihan ketujuh dari Hong Kong, Lee Ka Yi menjadi pencabarnya.
Nasib berbeza menimpa seorang lagi wakil negara, J. Yasshmita yang tumpas kepada lawan dari Hong Kong, Cheng Nga Ching 14-16, 11-5, 11-9, 7-11, 7-11.
Pada pusingan kedua, esok, Nga Ching bakal berdepan seorang lagi pemain Malaysia, Rachel Arnold yang diletakkan sebagai pilihan ketiga.
Sementara itu, dalam saingan lelaki, kesemua wakil negara terkandas di pusingan awal selepas tewas kepada lawan masing-masing, hari ini.
Sanjay Jeeva akur kepada kehebatan pemain Perancis, Toufik Mekhalfi 9-11, 8-11, 11-13, manakala, Mohamad Syafiq Kamal kalah ditangan Tang Ming Hong dari Hong Kong 4-11, 11-8, 7-11, 11-3, 5-11.
Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar pula kecundang kepada Wong Chi Him juga dari Hong Kong 7-11, 5-11, 11-5, 7-11. – UTUSAN










