PETALING JAYA: Skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki negara berpuas hati dengan gelaran naib juara selepas tewas 2-5 kepada Belanda pada aksi final Piala Dunia Hoki 5s 2024, awal pagi tadi.
Biarpun tewas, pencapaian skuad negara melangkah ke final tetap sesuatu yang boleh dibanggakan kerana ia merupakan sejarah baharu buat sukan hoki negara dalam penyertaan kali pertama.
Selain itu, anak-anak buah Wallace Tan juga hadir ke kejohanan berkenaan dengan serba kekurangan terutamanya melibatkan dana bagi mempersiapkan diri menghadapi kejohanan edisi sulung itu yang berlangsung di Muscat, Oman.
Pada aksi final itu, Belanda membuka tirai jaringan menerusi Van Der Drift Yannick seawal minit pertama namun Malaysia berjaya menyamakan kedudukan menerusi kapten, Mohamad Akhimullah Anuar Esook seminit kemudian.
Gol penyamaan skuad negara bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Belanda berjaya meledak dua gol selepas itu masing-masing menerusi Reyenga Pepijn pada minit keenam dan Van Der Drift Yannick minit ke-13.
Malaysia cuba memberi tentangan menerusi jaringan Muhammad Firdaus Omar pada minit ke-16 tetapi tidak cukup untuk menghalang kemenangan Belanda yang menambah dua lagi gol masing-masing menerusi Sander de Wijn pada minit ke-26 Jamie van Aart minit ke-28.
Dalam pada itu, tuan rumah, Oman mengakhiri kempen kali ini di kedudukan ketiga selepas mengatasi Poland 3-2 pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.-UTUSAN










