KUALA LUMPUR: Kedutaan Malaysia di Kathmandu, Nepal masih berusaha mengesan rakyat Malaysia yang masih hilang susulan tragedi tsunami di daerah Rasuwa pada 26 Ogos lalu meskipun operasi mencari dan menyelamat di negara itu telah ditamatkan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kedutaan Malaysia terus berhubung dengan pihak berkuasa tempatan serta pos-pos pendakian bagi mendapatkan maklumat mengenai lokasi terakhir rakyat Malaysia yang masih belum ditemukan.
Menurutnya, usaha itu dilakukan dengan meneliti rekod pendaftaran pendaki yang diwajibkan mendaftar di setiap pos sepanjang laluan pendakian bagi membantu mengenal pasti pergerakan terakhir mereka.
“Kerajaan Nepal telah memutuskan untuk menghentikan operasi mencari dan menyelamat kerana tiada lagi kemungkinan untuk melakukan usaha lanjut.
“Bagaimanapun, kedutaan kita di Kathmandu masih menghubungi kerajaan tempatan dan pos-pos yang menjadi laluan pendakian.
“Kita mengumpulkan maklumat dan menyusun rekod bagi mengenal pasti lokasi terakhir pendaki kita. Kebanyakannya menunjukkan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan berada di laluan yang dilanda tsunami pada tarikh berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) yang meminta penjelasan mengenai hubungan diplomatik Malaysia-Nepal susulan penamatan operasi mencari dan menyelamat, selain langkah kerajaan membantu keluarga rakyat Malaysia yang masih belum mendapat kepastian mengenai nasib ahli keluarga mereka.
Mohamad berkata, kerajaan tidak dapat memberikan jaminan mengenai nasib mangsa, namun pelbagai kementerian dan agensi berkaitan terus bekerjasama membantu keluarga terdekat yang terjejas.
Menurutnya, antara perkara yang menjadi keperluan keluarga mangsa ialah mendapatkan dokumen rasmi bagi membolehkan urusan perbankan, insurans dan hal berkaitan diselesaikan.
Katanya, kementerian serta agensi kerajaan, termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), telah mengadakan sesi perbincangan bersama keluarga terdekat bagi menjawab persoalan dan mengenal pasti bantuan yang diperlukan.
“Tanpa sijil kehilangan atau kematian, sukar bagi pihak berkuasa, syarikat insurans dan pihak lain untuk berurusan dengan keluarga terdekat,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamad berkata, Malaysia telah memohon kepada kerajaan Nepal supaya tempoh pengeluaran sijil kehilangan atau kematian bagi mangsa bencana yang belum ditemukan dipendekkan daripada 12 tahun kepada 45 hari menerusi satu perintah eksekutif.
Menurutnya, Perdana Menteri Nepal telah bersetuju dengan langkah itu bagi mempercepatkan urusan dokumentasi yang diperlukan keluarga mangsa.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan berkenaan dan membantu keluarga mangsa menguruskan keperluan mereka sementara usaha mendapatkan maklumat mengenai rakyat Malaysia yang masih hilang diteruskan. – UTUSAN











