Elak igauan sebagai tuan rumah berulang

Elak igauan sebagai tuan rumah berulang

AARON Chia dan Soh Wooi Yik menjadi sandaran Malaysia di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad negara perlu mengelak daripada igauan ngeri di Terbuka Malaysia berulang semula di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 yang akan membuka tirai esok di Pusat Konvensyen Setia Alam, Selangor.

Pada Terbuka Malaysia pada Januari lalu, tiada seorang pun wakil negara berjaya mara ke separuh akhir di kejohanan pembukaan kalendar Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) 2024, sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat.

Di BATC 2024, tugasan lebih mencabar menanti kem Malaysia untuk mempertahankan kejuaraan kali ini apabila rata-rata pasukan seperti India, Jepun, Korea Selatan dan China menghantar barisan terkuat.

Justeru bekas pemain perseorangan lelaki No. 1 Dunia, Roslin menuntut agar pemain negara menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk menyuntik semangat mereka di dalam gelanggang, tambahan kejohanan kali ini berformatkan acara berpasukan.

ROSLIN HASHIM

“Kalau diikutkan untuk penyertaan kali ini, kita merupakan salah satu pasukan yang menghantar barisan pemain yang terkuat untuk acara lelaki, jadi sudah pasti kita mengharapkan kejayaan yang lebih besar.

“Kita ada (Lee) Zii Jia, (Ng) Tze Yong, beregu Aaron (Chia) dan (Soh) Wooi Yik yang saya rasa menjadi nadi kepada pasukan ini, dan saya berharap pemain-pemain lain dalam pasukan juga mampu menyinar dan menyumbangkan mata.

“Apa yang terjadi bulan lalu di Terbuka Malaysia memang mengecewakan, tetapi kejohanan kali ini adalah kejohanan berpasukan, jadi senarionya adalah sedikit berbeza. Kita turun sebagai penyandang juara, beraksi pula di laman sendiri, dan sudah pasti kita mahu para pemain kita menggunakan segala kelebihan psikologi itu,” jelas Roslin kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, Roslin juga mengharapkan agar pasukan negara mampu melayakkan diri ke Piala Thomas/Uber secara merit biarpun Malaysia boleh bergantung kepada kedudukan ranking dunia untuk ke kejohanan tersebut.

Berdasarkan congakan dibuat Roslin, skuad lelaki dilihat berpotensi besar untuk mara ke separuh akhir, namun perkara sebaliknya untuk skuad wanita yang mempunyai jurang besar dengan negara kuasa besar Asia yang lain.

“Untuk skuad lelaki, saya rasa tiada masalah. Kerisauan saya adalah skuad wanita kerana kualiti pemain kita masih belum di tahap terbaik,” tambahnya.

Malaysia akan turun dalam perlawanan pertama menentang Brunei esok sebelum menentang Kazakhstan (Rabu) dan ujian terbesar peringkat kumpulan ialah menentang Taiwan pada Khamis yang dijangka menjadi penentu juara kumpulan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN