'Sambal' Malaysia lebih pedas, bedal Chile 7-1

‘Sambal’ Malaysia lebih pedas, bedal Chile 7-1

SHAHMIE Irfan Suhaimi meledak dua gol dalam kemenangan 7-1 Malaysia ke atas Chile dalam aksi Hoki Piala Dunia 2023, sebentar tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad muda hoki negara bermula dengan langkah kanan, selepas mengutip tiga mata penuh dalam aksi pembukaan Kumpulan A berdepan Chile pada Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, dekat sini, sebentar tadi.

Skuad bimbingan Muhammad Amin Rahim itu beraksi cemerlang apabila membenam Chile 7-1 yang sekagi gus menyaksikan Young Tigers menghuni kedudukan teratas Kumpulan A dengan perbezaan jaringan berbanding juara bertahan, Argentina yang menang tipis 1-0 ke atas Australia.

Penyerang, Muhammad Harris Iskandar Osman membuka pesta gol Malaysia seawal minit ke-13 hasil jaringan padang untuk mendahului 1-0.

Keputusan kekal Malaysia mendahului 1-0 sehingga wisel penamat suku pertama dibunyikan oleh pengadil perlawanan.

Perlawanan yang disambung semula pada suku kedua, skuad bimbingan Muhammad Amin Rahim itu terus beraksi lebih agresif dengan mengasak ke kubu pasukan lawan.

Usaha keras mereka akhirnya berhasil apabila pemain tengah, Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar menyumbang gol kedua Malaysia pada minit ke-23 menerusi pukulan sudut penalti.

Bagaimanapun, kecuaian barisan pertahanan negara yang menghadiahkan pukulan sudut penalti kepada Chile, membuka ruang kepada pasukan pelawat itu merapatkan jurang gol kepada 2-1.

Gol pasukan lawan dijaringkan ketua pasukan, Sebastian Wolansky yang berjaya menewaskan penjaga gol Malaysia, Mohamad Rafaizul Mohamad Saini pada minit ke-34.

Young Tigers yang seperti tersentak dengan jaringan tersebut, seperti harimau lapar apabila tidak menunggu lama untuk kembali menjarakkan kedudukan kepada 3-1 menerusi Andywalfian Jeffrynus selang dua minit selepas itu hasil pukulan sudut penalti.

Malaysia terus mengganas apabila menjarakkan kedudukan menjadi 4-1, hasil pukulan sudut penalti yang diperoleh skuad negara berjaya disempurnakan dengan baik Azmilmuizzuddin Misron pada minit ke-39.

Shamir Rizmi Shamsul menambah derita anak-anak buah Matias Amoroso menerusi jaringan padang yang disempurnakannya pada minit ke-41 dan sekali gus meletakkan Malaysia selesa mendahului 5-1.

Young Tigers terus berpesta gol dan kali ini giliran Shahmie Irfan Suhaimi merembat kemas membolosi gawang lawan juga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-47 untuk menjadikan kedudukan semakin melebar kepada 6-1.

Chile terus dihukum, apabila pengadil menghadiahkan penalti stroke kepada Malaysia yang disempunakan dengan baik oleh Shahmie Irfan pada minit ke-55 bagi membolehkan Malaysia melakar kemenangan bergaya 7-1.

Lebih manis lagi, kemenangan Young Tigers itu turut disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kemenangan tersebut, menyaksikan Malaysia mengekalkan rekod kemenangan sempurna ke atas Chile apabila skuad negara menang kesemua empat pertemuan termasuk aksi malam ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya