Perlumbaan drag tiada kelulusan MAM

Perlumbaan drag tiada kelulusan MAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) mengesahkan perlumbaan Drag Bike National ET Record Championship 2023 yang berlangsung Ahad lalu dan telah meragut nyawa seorang pelumba tidak mendapat kelulusan mereka.

Menurut MAM, mereka amat dukacita di atas kematian pelumba drag profesional, Muhammad Hattem Rashdi akibat kemalangan dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Untuk makluman semua, perlumbaan Drag Bike National ET Record Championship 2023 ini tidak diluluskan dan diiktiraf (sanctioned) oleh pihak MAM.

“Seperti mana semua sedia maklum, sukan permotoran merupakan sukan yang berbahaya. Mana-mana pihak yang ingin menyertai sukan permotoran baik selaku penganjur, pemilik litar atau pelumba wajib mematuhi segala peraturan dan protokol ditetapkan,” kata MAM dalam satu kenyataan semalam.

Jelas MAM, setiap kejuaraan yang dianjurkan perlu mematuhi garis panduan am dan teknikal yang telah ditetapkan oleh FIA dan FIM berkaitan dengan penganjuran, kemudahan, peserta dan juga kenderaan.

“Persekitaran perlumbaan perlulah selamat dengan kehadiran marshal serta pegawai perlumbaan berkelayakan dan berpengalaman, selain, litar juga perlu mematuhi aspek keselamatan, pasukan perubatan dan perlindungan insurans kepada penonton, pelumba, pegawai serta penganjur,” tegas MAM.

Bagi memastikan penganjuran sukan permotoran dapat diadakan dengan lebih teratur, MAM memberitahu, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pesuruhjaya Sukan telah berbincang bagi mengemas kini pentadbiran dan juga undang-undang untuk mengelak kejadian berulang berlaku.

Insiden yang menimpa Hattem bukanlah kali pertama berlaku di negara ini kerana pada Oktober tahun lalu, seorang pelumba drag terbunuh sewaktu menyertai Battle of The King (BOTK) 2022 di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak, Terengganu.

Dua bulan selepas keadian itu, seorang pengusaha bengkel kenderaan pula maut selepas dirempuh sebuah kereta lumba ketika menyaksikan pertandingan ‘CCT Battle of Champion’ di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak.

Tindakan tegas perlu diambil oleh pihak berwajib, agar tiada pihak yang mengambil mudah soal keselamatan kerana kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak mencukupi bagi menganjurkan kejohanan sukan pemotoran.

Kelmarin, Hattem, 22, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan selepas kira-kira 15 jam bertarung nyawa akibat kecederaan parah di bahagian kepala.j

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya