Pelumba muda negara raih emas di ACC 2023

Pelumba muda negara raih emas di ACC 2023

PELUMBA Malaysia, Phi Kun Pan merangkul emas dalam acara lepas beramai-ramai Bawah 23 Tahun wanita di Kejohanan Lumba Basikal Lebuhraya Asia (ACC 2023) di Rayong, Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sejarah tercipta di Rayong, Thailand apabila pelumba Malaysia, Phi Kun Pan merangkul emas dalam acara lepas beramai-ramai Bawah 23 Tahun wanita di Kejohanan Lumba Basikal Lebuhraya Asia (ACC 2023) sejauh 111 kilometer.

Kun Pan berjaya mengetepikan cabaran pelumba Uzbekistan, Yanina Kuskova dan Dewika Mulya Sova dari Indonesia untuk menamatkan kemarau pingat emas pada Kejohanan Lumba Basikal Lebuhraya Asia.

Pelumba cilik kelahiran Kedah itu merakam masa 2 jam 51 minit 41 saat dengan purata kelajuan 38.79 kmj untuk memastikan Malaysia melakar lembaran baharu dalam arena lebuhraya selepas kali terakhir menjulang pingat dalam kategori Bawah 23 Tahun pada 2012.

Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Norazman Abu Samah berkata, kejayaan Phi Kun membuktikan skuad lebuhraya wanita kini berada di landasan yang betul.

Norazman yang juga Pengerusi Biro Lebuhraya PKBM bagaimanapun mendedahkan bahawa Kun Pan dan rakan sepasukan termasuk Nur Fitrah Shaari hampir terlepas tiket untuk bertanding di ACC 2023 di Rayong.

“Mereka datang ke Rayong untuk berlumba dengan menggunakan duit sendiri. Penyertaan mereka juga disahkan pada saat-saat terakhir. Saya kemukakan nama tiga pelumba ini kepada penganjur ACC Lebuhraya iaitu Thailand.

“Nasib kita baik kerana kerana saya juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Persekutuan Berbasikal Asean. Saya merayu kepada Presiden ACF (Jeneral Dr Decha Hemkasri) supaya mereka diterima untuk berlumba.

“Alhamdulillah, mereka bukan sahaja dapat berlumba malah Kun Pan menang pingat emas. Ini satu pencapaian yang sangat cemerlang yang telah disumbangkan oleh pelumba lebuhraya wanita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada perlumbaan itu, seorang lagi pelumba Malaysia, Zhen Yi Yeong yang ditaja oleh Majlis Sukan Negara (MSN) menduduki tempat ke-10 manakala Nur Fitrah mengisi posisi ke-18.

Sementara itu, Norazman berkata, skuad lebuhraya wanita kini memiliki barisan ampuh untuk menyerlah pada Sukan Sea 2025 dan Kejohanan Lumba Basikal Lebuhraya Asia 2024 nanti.

“Kini, Aisyah (Nur Aishah Zubir) memiliki rakan sepasukan yang boleh diharapkan untuk mencatat kejayaan yang lebih bermakna pada pentas kejohanan Sukan Sea 2025 dan ACC 2024 nanti,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya