Jurang besar antara Kelantan United dan JDT

Jurang besar antara Kelantan United dan JDT

NAZRULERWAN MAKMUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Jurulatih sementara Kelantan United FC, Nazrulerwan Makmur mengakui jurang pemisah antara pasukannya dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) terlalu besar sehingga mereka mudah dibelasah 0-6 pada aksi Liga Super malam tadi.

Walaupun menentang pasukan berstatus bintang, namun pasukannya tetap melawan dan tidak hanya bertahan bagi mengelak kekalahan dengan jaringan yang besar.

“Falsafah yang saya pegang ialah menyerang adalah pertahanan yang baik. Walaupun sedar JDT jauh lebih bagus dibarisi pemain import yang berkualiti, kami tetap bermain secara terbuka dan melancarkan serangan.

“Kita tahu kalau kita bermain bertahan selama 90 minit sekali pun, kita tetap akan dibolosi. Jadi, lebih baik kami bermain secara menyerang, sekurang-kurangnya dapat membentuk keyakinan pemain dalam perlawanan besar seperti ini.

“Namun, kita kena realistik kerana kita berdepan dengan pasukan yang jauh lebih baik, jurangnya sangat besar antara kami. Harapnya, pemain dapat timba pengalaman berharga menerusi pertemuan ini,” katanya.

Walaupun masih belum merekodkan sebarang kemenangan pada musim ini, Nazrulerwan tetap positif bahawa skuad Kijang Hijau ini akan memperoleh kemenangan pertamanya, sekali gus meniup semangat pemain untuk beraksi dengan lebih baik.

Dalam pada itu, beliau turut mempertahankan peranan Indra Putra Mahayuddin selaku kapten pasukan yang dilihat mampu membantu pemain muda untuk beraksi dengan lebih baik.

“Kita kena faham, KUFC perlu ada pemain senior yang boleh memberi arahan kepada pemain muda pada perlawanan ini. Bagaimanapun, dia tidak dapat beraksi 90 minit atas faktor usia serta tempo permainan yang laju dan dibawa keluar pada babak kedua.

“Kami memilih untuk turunkan Indra kerana mahu dia membantu bahagian tengah pasukan, kita tahu JDT mempunyai pemain tengah yang berkualiti dan kita tidah mahu mereka berleluasa menguasai bahagian tengah,” katanya.

Ditanya mengenai khabar angin bahawa KUFC akan mendapatkan khidmat jurulatih kelahiran Brazil, beliau tidak mengetahui tentang kesahihan perkara tersebut dan ia terpulang kepada pihak pengurusan sama ada mahu mengambil baharu atau sebaliknya.

“Saya hanya mendengar khabar angin sahaja, kalau ia benar, maka baguslah namun sekiranya tidak, kita akan teruskan dengan pasukan ini. Tumpuan kami adalah untuk mendapat kemenangan pertama musim ini, dengan kehadiran semula Devid, OJ Porteria dan Morgaro Gomis akan memperkuatkan kembali pasukan,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya