Jangan hilang emas lagi

Jangan hilang emas lagi

SKUAD Hoki lelaki negara sudah bersedia untuk berdepan Singapura bagi aksi penentuan pingat emas Sukan SEA Kemboja, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH: Skuad hoki lelaki negara diharapkan tidak mengulangi tragedi buruk menimpa skuad hoki dalam dewan supaya pingat emas di Sukan SEA Kemboja tidak terlepas daripada genggaman Malaysia.

Malaysia yang turun sebagai pasukan pilihan memenangi emas, akan berdepan Singapura dalam perlawanan akhir di Stadium Hoki Morodok Techo, hari ini selepas masing-masing berada pada kelompok dua teratas dalam pusingan round robin yang berakhir,kelmarin.

Ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Muhamad Amin Rahim sekali lagi mengingatkan anak buahnya supaya tidak hilang fokus selepas pasukan negara dalam beberapa perlawanan sebelum ini kelihatan sering berdepan ‘penyakit’ itu apabila mendahului hingga membolehkan lawan mendapatkan gol.

Mimpi ngeri yang diterima skuad hoki dalam dewan lelaki negara ketika tewas 1-2 menerusi shoot-out kepada Indonesia dalam penentuan pingat emas sebelum ini juga harus dijadikan iktibar oleh skuad hoki padang.

Ia kerana faktor hilang fokus juga menjadi punca skuad hoki dalam dewan lelaki negara terlepas emas apabila Indonesia bangkit dalam tiga minit terakhir untuk mengikat kedudukan ketika Malaysia selesa mendahului 3-0.

Amin turut menuntut barisan pemainnya tidak memandang mudah terhadap keupayaan Singapura walau Speedy Tigers berjaya mengatasi lawan itu 4-3 dalam pusingan round robin.

“Semua gol lawan berlaku akibat pemain hilang fokus, apabila sudah mendahului ada rasa sudah menang dan boleh tarik nafas lega. Ini Sukan Sea, kita tak boleh ada rasa begitu.

“Pemain perlu fokus sepenuhnya dalam 60 minit permainan tidak kira sedang mendahului 10-0 atau 20-0, selagi belum wisel penamat kita perlu fokus. Kita kena kekal berdisiplin mengikut arahan dan perancangan.

“Singapura tetap pasukan yang berpengalaman dan beberapa kali beraksi di pentas final bersama Malaysia. Kemenangan ke atas Thailand membuktikan mereka antara pasukan yang ada kualiti.

“Kami akan bermain mati-matian dan saya yakin sekiranya pemain kekal fokus serta mengikut perancangan yang diatur, saya tidak nampak mengapa kami tidak boleh pulang ke Malaysia dengan kalungan pingat emas,” kata Amin.

Pertembungan Malaysia dan Singapura hari ini juga boleh dianggap sebagai ulangan final Sukan Sea Singapura 2015 yang menyaksikan Speedy Tigers menang 4-3 menerusi penalti shoot-out selepas terikat 2-2.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.