Sentuhan pemain di pelindung betis

Sentuhan pemain di pelindung betis

ANTARA koleksi pelindung betis unik yang dipakai pemain sepanjang Piala Dunia 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Lupakan but mahal. Kebanyakan pemain bola sepak menempah dan mencipta sendiri pelindung betis (shin pad) unik yang dipakai sepanjang Piala Dunia 2022.

Bintang dari beberapa negara seperti England, Sepanyol dan Jerman memakai pelindung kaki itu dengan paparan imej isteri, teman wanita, keluarga, malah ada yang mendedikasikannya kepada kelab mereka.

Tahun lalu, Cristiano Ro­naldo memakai pelindung betis memaparkan gambarnya bersama Georgina Rodriguez dalam Euro 2020.

BUKAYO SAKA

Kelab bola sepak Arsenal adalah cinta pertama pemain sayap England, Saka. Maka, tidak hairanlah pemain yang sudah meledak tiga gol itu meletakkan logo kelab di pelindung betis.

Dia juga meletakkan nombor ‘7’, iaitu jersi yang dipakai bersama Gunners. Saka bagaimanapun menggunakan No. 17 ­bersa­ma England.

RAPHINHA

Ketika kamera beralih ke arah bangku simpanan Brazil semasa pasukan itu menentang Ca­meroon, Sabtu lalu, terlihat gambar bintang Barcelona tersebut memakai jersi kuning negaranya di pelindung betisnya.

Turut tertera kata-kata di pelindung kaki itu, “Bawa Pulang Piala”.

ANTONIO RUDIGER

Piala Dunia 2022 bukanlah musim terbaik Jerman apabila juara empat kali itu tersingkir di peringkat kumpulan.

Nasib tidak baik itu menjadikan Rudiger tidak mengambil masa lama untuk memakai pelindung betis yang memaparkan imej penumbuk tangan menghala ke depan bersama tandatangannya.

Imej itu adalah simbolik kepadanya sebagai pemain di posisi pertahanan Jerman.

KOKE

Bagi bintang tengah Sepanyol serta Atletico Madrid ini, kelab dan keluarga adalah segala-ga­lanya.

Pelindung betisnya terpapar banyak imej antaranya keluarganya, begitu juga gambar dia bersama pasukan memberi tabik hormat kepada orang ­ramai di Wanda Metropolitano.

Dia pastinya akan mempunyai lebih banyak kenangan de­ngan pelindung kaki itu jika Sepanyol menang.

Malangnya semalam, pemain berusia 30 tahun itu perlu akur apabila pasukannya tewas kepada Maghribi menerusi penentuan sepakan penalti 3-0 selepas kedudukan terikat 1-1. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya