Ronaldo jaring gol di lima Piala Dunia

Ronaldo jaring gol di lima Piala Dunia

RONALDO menyempurnakan sepakan penalti untuk gol pertama Portugal ketika menentang Ghana di Piala Dunia Qatar 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Cristiano Ronaldo mencipta lebih banyak sejarah dalam kariernya apabila menjadi pemain pertama yang menjaringkan gol dalam lima edisi Piala Dunia selepas dia menjaringkan gol ketika membantu Portugal menang 3-2 ke atas Ghana dalam saingan Kumpulan H.

Gol berkenaan adalah gol kelapan Ronaldo dalam koleksi Piala Dunia dan ia hadir menerusi sepakan penalti selepas dia dijatuhkan oleh pemain pertahanan Ghana, Mohammed Salisu.

Jaringan itu menyamakan kedudukannya dengan Diego Maradona, Rivaldo dan Rudi Voller dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman, tetapi masih jauh ketinggalan dengan catatan Miroslav Klose yang menjaringkan 16 gol.

Ronaldo kini menjadi ejen bebas selepas dia mencapai persetujuan bersama untuk membatalkan kontraknya di Manchester United berikutan temu bual panas dengan Piers Morgan.

Gol pertama Ronaldo di pentas Piala Dunia hadirpada 17 Jun 2006 selepas dia menjaringkan gol dalam kemenangan 2-0 peringkat kumpulan ke atas Iran, yang menjadi gol tunggalnya dalam kejohanan yang menyaksikan Portugal tewas kepada Perancis pada separuh akhir.

Empat tahun kemudian, dia turut menjaringkan gol ketika Portugal membelasah Korea Utara 7-0 walaupun edisi di Afrika Selatan itu menjadi misi yang mengecewakan kepada mereka apabila gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan seterusnya.

Pada Piala dunia seterusnya 2014 di Brazil, Ronaldo menjaringkan gol ketika Portugal seri 2-2 dengan Amerika Syarikat (AS) selain ketika kemenangan 2-1 ke atas Ghana.

Hubungan Ronaldo dengan Piala Dunia berlanjutan pada 2018 di Russia, dan ia merupakan satu lagi penyingkiran 16 terakhir yang mengecewakan bawah bimbingan Fernando Santos.

Boleh dikatakan ia penampilan paling mengagumkannya di Piala Dunia ketika seri 3-3 dengan Sepanyol, apabila menjaringkan hatrik dan menyusulinya dengan satu-satunya gol ketika menang 1-0 ke atas Maghribi.-AGENSI

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya