Kaki emas Fadzan

Kaki emas Fadzan

FATZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DETIK tragis kaki dihempap lori yang dipandu sendiri selepas terbabit kemalangan 17 tahun lalu, menjadi episod hitam dalam sejarah hidup pemain bola sepak paralimpik negara, Fadzan Mat Isa.

Ketika itu, putaran dunia bagaikan terhenti, impian dan harapan untuk terus beraksi di padang gelap gelita. Lebih menyedihkan, kaki terpaksa dipotong demi menyelamatkan nyawa.

Minat mendalam dalam sukan terutama bola sepak tidak nampak lagi ada cahaya. Ia membungkam perasaan, mental dan emosi.
Lebih setahun Fadzan ‘tutup buku’. Sekalipun sekadar menonton perlawanan bola sepak di televisyen, ia bagai menghiris jiwanya.

“Kejadian berlaku pada 2005, ketika itu saya terfikir habis sudah karier saya. Setahun juga tak boleh tengok bola, tak boleh tengok perlawanan bola di­ ­televisyen, tak boleh pergi padang, saya down habis,” katanya yang bermain posisi penjaga gol sebelum kemalangan.

Dua tahun selepas itu, Fad­zan bangkit semula. Kudung se­belah kaki tidak boleh lagi menjadi penghalang dan alasan untuk terus berduka lara. Kecacatan itu harus ditukar menjadi satu keistimewaan.

Sejak itu, Fadzan memilih untuk menyambung pelajaran di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan OKU (PLPP) Bangi pada tahun 2007. Di situ, beliau melihat ramai lagi yang senasib malah lebih teruk daripadanya.

BARISAN jurulatih Kelab Bola Sepak Lestari Vipers.

Bermula dari situ, Fadzan aktif semula dalam bola sepak berkerusi roda sehingga mewakili Malaysia ke Korea.

“Saya tak henti bersukan, saya buat macam-macam. Sekarang masih aktif bola tampar duduk mewakili Malaysia. Selain itu saya juga dalam pasukan bola sepak kudung dan badminton dan bakal beraksi pada para Sukma,” katanya.

Kini Fadzan, 40, ada misi mahu dicapai. Beliau sedang giat mencari pelapis pasukan bola sepak kudung bersama Kelab Bola Sepak Lestari Vipers dengan sokongan Persatuan Bolasepak Orang Kudung Malaysia (MAFA) di bawah projek Tongkat Emas.

“Perancangan kami untuk mencari pemain muda. Sekarang kita ada pemain kudung pa­ling muda berusia 10 tahun. Kita mahu bawa pasukan ini ke pe­ringkat antarabangsa sebagaimana jiran kita Indonesia sudah dapat beraksi di Turki bulan ini,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Sementara itu, Presiden Ke­lab Bola Sepak Lestari Vipers, Mohd. Tarmizie Mohd. Shahidan, budaya riadah dan sukan dalam kalangan masyarakat perlu bermula semula.

Apatah lagi masalah keterasi­ngan masyarakat Orang Kurang Upaya (OKU) terutama orang kudung bertambah luas.

“Sebagai kelab sukan yang mempunyai skuad akar umbi dan pemain OKU Kudung, Lestari Vipers dengan kerjasama pelbagai pihak bertanggungjawab membudayakan semula pembentukan jaringan sosial,” katanya.

Lestari Vipers bakal menganjurkan Pertan­dingan Bola Sepak OKU Kudung terbuka dari seluruh Malaysia iaitu julung kali diadakan antara kelab bola sepak di Selangor untuk golongan OKU Kudung seluruh Malaysia pada 22 Oktober ini.

Penganjuran di bawah ‘Warga Selangor Riadah, Prihatin Dan Sehati Bersama’ itu demi mengembalikan budaya riadah dan prihatin masyarakat bermula seawal usia kanak-kanak dengan barisan jurulatih Annas Yaakop, Mohamad Shariffudin Mohamed Shariff, Mohd. Azlan Rosli, Azli Idris, Norizal Razali dan Asmel Khalid.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN