Tuah sepakan penalti tidak memihak Harimau Malaya

Tuah sepakan penalti tidak memihak Harimau Malaya

SELEPAS mengikat Tajikistan 0-0, Malaysia tumpas menerusi penentuan sepakan penalti 0-3 dalam final Piala Raja Thai di Chiang Mai malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Hasrat Malaysia untuk menamatkan kemarau 44 tahun menjulang Piala Raja Thai tidak kesampaian apabila kalah menerusi penentuan sepakan penalti 0-3 kepada Tajikistan selepas terikat 0-0 dalam tempoh 90 minit permainan di Chiang Mai, sebentar tadi

Kegagalan Dion Cools, Nazmi Faiz Mansor dan Safawi Rasid menyempurnakan sepakan menyebabkan Harimau Malaya terlepas untuk merekodkan kejuaraan kelima dalam enam penampilan di pentas akhir.

Dalam aksi di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai, pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon  melakukan beberapa pertukaran berbanding ketika berdepan Thailand dengan memasukkan Syafiq Ahmad, Mohamadou Sumareh, Akhyar Rashid dan Nazmi Faiz dalam kesebelasan utama.

Permukaan padang kurang baik dan hujan ketika perlawanan menjejaskan persembahan kedua-dua pasukan yang dilihat sukar untuk melakukan gerakan lebih teratur untuk mendapatkan gol.

Peluang terbaik Harimau Malaya hadir pada minit-23 selepas berlaku kelam kabut di depan pintu gol Tajikistan, namun tandukan Brendan Gan tidak menepati sasaran.

Harimau Malaya bernasib baik pada hujung babak pertama apabila pengadil tidak melayangkan kad kuning kedua kepada Sumareh selepas dia mengasari pemain lawan sebelum kedua-dua pasukan beredar masuk ke bilik persalinan dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Aksi lebih tersusun dapat disaksikan pada babak kedua dengan Safawi melakukan rembatan dari luar kawasan penalti selang dua seminit selepas wisel dibunyikan pengadil, namun gagal menewaskan penjaga gol lawan, Rustam Yatimov pada minit ke-57.

Tajikistan yang berada di ranking ke-109 dunia semakin agresif memburu gol sulung dengan pemain Malaysia lebih banyak berkampung di kawasan sendiri bagi mengekang asakan lawan.

Penjaga gol Malaysia, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang banyak berehat pada babak pertama diuji menerusi menerusi tiga percubaan jarak jauh Mukhammadzhon Rakhimov, Ekhson Pandzhshanbedan Manuchekhr Safarov, namun dia tangkas memastikan gawang tidak dibocori.

Tajikistan yang dibimbing Petar Segrt berjaya mengegar gawang Malaysia pada minit ke-84 hasil jaringan Rustam Soirov, namun gol dibatalkan kerana dia terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Ketumpulan penyudah menyebabkan pemenang edisi ke-48 terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti dengan aksi cemerlang Yatimov mengagalkan sepakan Cools dan Nazmi, selain sepakan Safawi yang terkena palang memastikan kemenangan buat Tajikistan. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya